AKUI BELUM ADA RANCANGAN KAHWIN – RUHAINIES TAK RISAU MR. E DISAMBAR ORANG
Umum sedia maklum mengenai pelakon Risteena Munim yang kini telah selamat berumah tangga dengan jejaka pilihan, pelakon Isa Khan. Terkini tumpuan beralih kepada adiknya, pelakon Ruhainies pula tentang bilakah bakal berlangsung perkahwinan antara dirinya dengan lelaki dikenali sebagai Mr. E.
Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul yang ditemui media berkata, dia masih belum merancang untuk menamatkan zaman bujang meskipun terdapat desas-desus yang mengatakan dia bakal bernikah pada tahun hadapan.
Menurut Ruhainies, dia kini ingin menumpukan perhatian kepada soal kerjaya kerana banyak kerja tertangguh yang perlu diselesaikan.
“Saya belum ada rancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat sebab saya sibuk dengan penggambaran drama sehingga penghujung tahun ini. Seperti semua maklum, banyak kerja tertangguh akibat Covid-19. Jadi, apabila sudah dibenarkan menjalani penggambaran, jadual kerja saya padat,” jelasnya.
Ruhainies mengakui tidak pernah risau sekiranya kekasihnya itu disambar orang. Menurut Ruhainies, sekiranya perlu bertunang, dia tidak mahu mengambil masa lama sebelum berkahwin.
“Bagi saya, kalau itu jodoh saya, maka dia akan menjadi jodoh saya sampai bila-bila. Jadi, saya tak risau kalau orang kata, menunggu terlalu lama berisiko untuk kekasih disambar orang.
“Setakat ini kami tak ada rancang mengenai pertunangan. Tapi, saya tak suka kalau nak bertunang dalam tempoh yang lama. Mungkin paling lama pun, seminggu sebelum bernikah,” katanya.
BILA RUHAINIES HADIAHKAN IBU JAMBANGAN BUNGA DUIT RM1,500 & TELEFON BAHARU [VIDEO]