Lelaki lunas pampasan RM37,963 kerana gurauan maut

Beijing: Gurauan seorang lelaki di wilayah Liaoning dekat utara China membawa padah apabila dia diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak 60,000 yuan (kira-kira RM37,963) atas kesalahan itu.

Keputusan itu dibuat oleh hakim di Mahkamah Liaoning, Jumaat lalu selepas mendapati lelaki dikenali Zhou menyebabkan kematian jirannya yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada pagi Februari lalu ketika Zhou berselisih dengan jirannya, Gou di tingkat bawah rumah.

Dalam pertemuan itu, mereka berdua dikatakan sempat bergurau senda sehinggalah Gou tumbang secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, Zhou tidak tahu Gou mengalami masalah kesihatan dan meminta jirannya itu berhenti berpura-pura.

Tidak lama selepas itu, wajah Gou bertukar menjadi kebiruan dan mengalami sesak nafas.

Zhou tidak mendapatkan bantuan kecemasan sebaliknya terus pulang ke rumah kerana menyangka jirannya berseloroh.

Sedangkan, Gou benar-benar sakit dan keluarganya juga tidak sempat membantu kerana lelaki itu meninggal dunia sebaik mereka tiba di lokasi.

Keluarga mangsa membuat laporan polis selepas menerima maklumat yang Zhou adalah individu terakhir bertemu Gou.

Tindakan itu juga dilakukan kerana Gou mengalami penyakit jantung kronik dan meninggal dunia kerana terkena serangan selepas bergurau dengan Zhou.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *