SPEKULASI DAH TAK PAKAI GELANG EMAS – INI JAWAB MK K-CLIQUE

 

“Tentang hal itu (tidak mahu memakai gelang emas), doa saja yang baik baik. Yang baik kita jadikan teladan dan buruk pula sebagai sempadan. Saya tak boleh nak kata ya atau tidak, takut memakan diri. Biarlah ia terjadi tanpa perlu dipukul canang.
“Cuma seiring usaha memperbaiki diri, saya cuba jadi lebih baik daripada sebelum ini. Karakter saya dalam dunia hiburan masih sama seperti dulu. Pastinya setiap sudut kecaman dan kritikan itu saya akan nilai. Yang mana perlu dielak, saya akan cuba mengelaknya termasuk dalam soal imej diri. Saya tak pernah sempurna.

“Di luar konteks kerja seni hiburan, saya tetap manusia biasa yang mahu mencari keseimbangan hidup,” itulah jawab anggota kumpulan K-Clique, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin, sama ada dia sudah berubah iaitu tidak memakai gelang emas setelah memikul mandat sebagai duta PTTI selain pernah menyertai kelas agama bersama kumpulan tabligh di Jerantut, Pahang bulan lalu.

Tidak dinafikan, pada awal perlantikan MK sebagai duta pusat akademik dan tuisyen PTTI Group Sdn Bhd, ada yang menyambut baik dan sebaliknya. Ini kerana, sesetengahnya beranggapan, bintang berusia 25 tahun itu tidak layak selain kurang sesuai dengan imej yang dipaparkan seperti memakai gelang emas.

Mengenai apa sahaja kisahnya yang menjadi ruang atau modal kecaman warganet, MK mengakui sudah mulai biasa dengan situasi terbabit. Pada masa sama, dia juga akur dan sedar bukan senang untuk memuaskan hati semua orang.



“Saya anggap rezeki dalam hal apa dikongsi di media sosial tular dan mendapat perhatian. Dikecam itu biasalah. Macam jadi duta PTTI pun saya dipertikai kerana dianggap tak layak. Mereka hukum saya tanpa tahu latar belakang akademik saya. Sampai ada anggap saya tak sesuai dek imej yang dipaparkan ketika menjadi artis.

“Apa lebih utama peranan itu buat saya jadi lebih bertanggungjawab. Saya sendiri dapat membentuk diri ini untuk menjadi lebih baik dan berdisiplin. Tapi rezeki tak pernah salah alamat. Amanah ini akan dipikul sebaik mungkin. Dalam hidup ini, saya percaya kita tak boleh nak senangkan atau memuaskan hati semua pihak. Ada yang suka dan sebaliknya.

“Yang menyukai kita pun belum pasti keikhlasannya. Tapi apa jadi hidup harus diteruskan. Macam saya katakan, mungkin imej atau cara saya pantas dihakimi. Iyalah saya tahu ada yang anggap saya menyerlahkan sisi ‘bad boy’. Dan sekaligus dilihat bertentangan dengan visi PTTI yang menekankan hal akademik,” katanya yang mengikat setahun kontrak bersama PTTI.

Penyanyi yang turut membuat penampilan istimewa dalam lagu ‘Peluang Kedua’ dendangan Nabila Razali ini berkata, dia pada awalnya sedikit ralat dan sedih apabila ada yang mengecam serta mempertikai pelantikan berkenaan. Dalam pada itu, ditanya mengenai latar belakang akademiknya pula, MK sebenarnya mendapat keputusan cemerlang SPM yang didudukinya pada tahun 2013.



“Saya sendiri rasa ada calon lain yang lebih layak berbanding diri ini. Masa nak menerima lamaran PTTI ini pun saya ambil masa untuk menyatakan persetujuan. Saya percaya PTTI ada sebab dan alasan tersendiri memilih diri ini. Saya percaya dengan adunan pencapaian akademik dan sedikit pengaruh saya, matlamat mereka untuk mendekatkan diri dengan generasi baru iaitu pelajar SPM boleh dicapai.

“Saya mendapat 5A 3B dalam SPM. Saya pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM, Kota Kinabalu, Sabah dari tahun 2012 hingga 2015. Secara peribadi, saya anggap keputusan dan tahap pendidikan itu paling baik saya pernah capai. Saya percaya ada yang lebih bagus dan cemerlang. Ketika itu memang bersemangat membuktikan kepada keluarga yang saya boleh buat. Alhamdulilah ia menjadi kenangan manis untuk saya kenang,” ujarnya.

[VIDEO] MUAT NAIK VIDEO TIKTOK – NETIZEN ‘TARBIAH’ MK K-CLIQUE PAKAI GELANG & CINCIN EMAS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker