[VIDEO] WANG HANTARAN RM32K – Risteena Munim

“Dia wanita hebat. Cinta dan kebahagiaan yang diberikan kepada saya selama ini, sangat luar sangat biasa. Saya tidak mahu mempersia-siakannya. Saya hargai apa yang dilakukannya,” demikian kata pelakon Isa Khan yang menyifatkan isterinya, pelakon Risteena Munim, seorang wanita hebat dan berharap dapat membahagiakan pasangannya itu sampai bila-bila.

Pasangan merpati dua sejoli ini sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalams satu majlis serba ringkas diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pagi semalam (12.3.21).

Meluahkan rasa syukur majlis berjalan dengan lancar, Isa Khan mendedahkan wang hantaran diberikan kepada Risteena berjumlah RM32,000 sebagai simbolik usia isteri tercinta, 32 tahun.



Dalam majlis tersebut, pengantin perempuan turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang, selain menerima mas kahwin bernilai RM1,000.


“Ikutkan perancangan kami memang nak bernikah pada tahun lalu tapi PKP pula. Saya bersyukur majlis pernikahan berjalan dengan lancar. Ikutkan kita nak buat majlis tahun lepas ketika itu Risteena berusia 32 tahun jadi jumlah wang hantaran itu merupakan simbolik usianya. Wang hantaran itu merupakan atas permintaan dia juga, saya tunaikanlah janji,” katanya.

Sementara itu, Risteena turut meluahkan rasa syukur majlis berjalan dengan lancar dan berkata dia dan Isa kini menuju ke fasa bahari iaitu bahtera rumah tangga.

“Tadi, sebelum akad nikah, jantung saya berdegup laju. Tetapi selepas selesai majlis, lega sikit. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Saya dan suami mengecap fasa baharu dalam ikatan perkahwinan. Insya-Allah, kami akan melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin,” tuturnya.



Mengenai soal cahaya mata pula, Isa memberitahu dia dan Risteena mahu segera memperoleh zuriat. Isa berkata dia mahukan dua atau tiga orang cahaya mata dan sempat berseloroh jika diberi rezeki mahukan anak kembar.

“Perancangan cahaya mata, kita orang kalau boleh terus nak ada anak. Kalau ada rezeki InsyaAlah. Kalau boleh nak dua tiga orang anak. Kembarlah,” ujarnya.

Majlis resepsi pasangan ini telah berlangsung malam tadi di sebuah dewan, Kuala Lumpur, dengan menyaksikan Isa melancarkan lagu ciptaannya berjudul ‘Karunia Terhebat’ khas buat isteri tercinta itu sebagai hadiah sempena hari bahagia mereka selepas sah menjadi suami isteri. Isa berkata, lagu itu adalah simbolik mengenai perjalanan kisah cinta mereka.



“Lagu ini saya abadikan kisah cinta kami dari awal perkenalan sehinggalah akhirnya melangkah ke alam perkahwinan. Ia mengisahkan mengenai pemberian terhebat daripada Allah SWT iaitu isteri kepada saya. Saya ciptakan lagu ini istimewa buat dia,” jelasnya.

Bagi Risteena pula, lagu itu berjaya membuat dia menitiskan air matanya saat pertama kali diperdengarkan. Menurut Risteena, dia tahu Isa bekerja keras menghasilkan lagu itu sejak tahun lalu.

“Kali pertama saya mendengar lagu ini, saya menangis. Saya berasa tak ada lelaki yang mampu melakukan sesuatu yang istimewa kepada saya seperti mana yang dia lakukan Isa.

“Sekitar Julai tahun lalu, dia sudah mula menulis lagu ini. Tapi, pada ketika itu saya agak sibuk dengan penggambaran dan dia pun tak bagi saya dengarkan lagu ini sepenuhnya,” katanya.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button