ZAMANI: “BUKAN TIADA DUIT, SAYA KETEPIKAN SETIAP PENDAPATAN UNTUK KOS RAWATAN”

“Jangan salah faham, saya bukan tiada duit untuk kos rawatan. Saya mengetepikan setiap pendapatan yang diperoleh untuk menampung kos rawatan. Saya perlu melakukan rawatan ini secara konsisten. Cuma, masalahnya apabila Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dikuatkuasakan.

“Ia membataskan pergerakan saya dan terpaksalah rawatan dihentikan seketika. Apa yang dilakukan, saya belajar dan mempraktikkan teknik urusan sendiri. Jujurnya, saya lebih selesa duduk di rumah ketika angka pandemik COVID-19 meningkat, baru-baru ini. Saya tiada pilihan selain melakukan rawatan urut ini.

“Jadi, nak tak nak, saya kena belajar melakukannya sendiri. Sekarang PKP sudah berakhir, jadi bolehlah saya kembali meneruskan rawatan seperti biasa,” itulah kata-kata penyanyi legenda, Zamani.

Situasi pandemik COVID-19 menghalang Zamani melakukan rawatan penyakit skoliosis atau tulang belakang melengkung. Malah, ia menuntut penyanyi yang popular menerusi lagu ‘Tak Mungkin Berpaling’ dan ‘Nur Kasih’ itu mempraktikkan teknik urutan yang diajar kepadanya.

Biarpun kos rawatan urutan agak tinggi antara RM300 hingga RM400, Zamani berkata, dia perlu melakukannya secara konsisten untuk mengurangkan kesakitan.

Zamani yang mencetuskan kontroversi ketika muncul dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu berkata, dia memang mengetepikan duit simpanan untuk menampung kos rawatan.

“Tak dinafikan, tawaran mengadakan persembahan tidak banyak seperti kebiasaannya ketika PKP. Bagaimanapun, saya akan pastikan duit rawatan diketepikan,” jelasnya.

 

Pada masa sama, bekas vokalis kumpulan Slam itu berkata, kesakitan yang dialami juga membataskan pergerakannya.

“Dalam erti kata lain, saya tak duduk atau berdiri terlalu lama. Saya terbabit dengan rakaman program, penganjur menyediakan saya bilik untuk menunggu, baru-baru ini.

“Apabila sampai giliran nak menyanyi, barulah saya keluar. Kalau memandu terlalu lama pun saya akan cepat rasa sakit dan tak selesa pada bahagian belakang badan dan perut. Bahagian rusuk seperti hampir mencucuk perut di sebelah kanan. Keadaan ini memaksa saya membongkok untuk menahan sakit,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Zamani berkata, dia menceburi dunia perniagaan sebagai persediaan pada masa depan.

“Saya tidak mahu jadi seperti sudah terhantuk baru nak terngadah. Jadi, saya pilih berniaga syampu jenama Salju yang dipasarkan menerusi platform ilike_global dan Shoppee dengan kerjasama KRU.

“Saya juga muncul dengan buku Hitam Putih Sebuah Autobiografi dengan kerjasama Zime Production. Ia mengenai kehidupan saya dan dijual dengan harga serendah RM49.90. Untuk edisi pertama 1,000 cetakan dikeluarkan dan dijual menerusi platform kru2u.originals. Insya-Allah, ia bakal disusuli dengan menerbitkan audio untuk buku yang sama,” ujarnya.

SEBAIK DIIJAB KABUL – SYANIE KOTA JANJI BERHIJAB

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker