4 TAHUN TEKAAN MENGENA – NEELOFA KALI INI RAMAL ‘SEMALAM’ (AINA ABDUL) JUARA AJL35

Pelakon, pengacara dan usahawan Noor Neelofa menerusi laman Twitter nampaknya sekali lagi meletakkan tiga lagu yang dijangka memenangi Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang berlangsung malam Ahad ini.

Empat tahun berjaya membuat ramalan dengan tepat, kali ini Neelofa, 32, meramalkan ‘Semalam’ nyanyian dan ciptaan sepenuhya oleh Aina Abdul bakal mengungguli trofi AJL35 tahun ini.

Neelofa juga meramalkan Aina Abdul dan vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter, Azlan Rosle berpotensi besar memenangi trofi Vokal Terbaik.

“Saya tak berapa ikut sangat dengan lagu-lagu yang bertanding untuk tahun ini. Tapi ini merupakan ramalan saya untuk AJL35. Juara, ‘Semalam’, tempat kedua, ‘Peluang Kedua’ (Nabila Razali) dan tempat ketiga, ‘Belenggu Rindu’ (lagu duet Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah),” tulisnya.


Bagaimanapun, Neelofa mengingatkan pengikutnya bahawa lagu yang dipilih itu hanya sekadar ramalan semata-mata. Ia mungkin tidak mengena dan tersasar daripada keputusan yang bakal diumumkan malam Ahad.

Bekas pengacara program MeleTOP ini juga mengharapkan peminat muzik tempatan menghargai hasil karya kreatif pencipta lagu dan penulis lirik.

“Ini hanya ramalan saya sahaja, mungkin ada yang tidak mengena. Apa-apa pun, selamat berhibur dengan AJL35, majlis anugerah yang sentiasa mengiktiraf hasil kerja komposer dan penulis lirik,” katanya.

Tahun lalu, lagu ‘Sumpah’ nyanyian Naim Daniel menepati ramalan apabila diumum sebagai juara AJL edisi ke-34.

Sebanyak 12 buah lagu bakal bersaing pada malam ini iaitu ‘Semalam’ nyanyian Aina Abdul, ‘Gila’ (Kaka Azraff, Noki, Loca B), ‘Hutang’ (Floor88), ‘Aku Bidadari Syurgamu’ (Aishah), ‘Kau Sakiti’ (Amir Masdi) dan ‘Belenggu Rindu’ (Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah).

Turut bertanding, ‘Gundah’ (Ernie Zakri), ‘Eh’ (Zizi Kirana), ‘Peluang Kedua’ (Nabila Razali), ‘Jangan Khianati Aku’ (Azlan & The Typewriter), ‘Hati’ (Hael Husaini) dan ‘7 Nasihat’ (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta).

AJL35 akan bersiaran langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam tanpa kehadiran penonton serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Acara itu akan dihoskan trio pengacara, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni.

BUSANA DISAMAKAN DENGAN ‘VALAK’ – AINA ABDUL MINTA MAAF, JELAS ADA MAKSUD TERSIRAT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker