Lelaki Jepun bunuh 36 orang kemuka rayuan hukuman mati

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki Jepun bunuh 36 orang kemuka rayuan hukuman mati
Peguam Shinji Aoba telah membuat pengakuan tidak bersalah, mengatakan dia mengalami gangguan mental, tetapi hakim menolaknya. – Foto AFP

Seorang lelaki Jepun hari ini merayu keputusan mahkamah yang menetapkan hukuman mati selepas dia disabitkan kesalahan membunuh 36 orang di sebuah studio anime selepas menyebabkan kebakaran di premis berkenaan, pada 2019.

Shinji Aoba, 45, disabitkan kesalahan dilakukan di studio Animasi Kyoto yang turut disifatkan sebagai kejadian paling dahsyat di Jepun sejak beberapa dekad itu, semalam.



Bercakap kepada AFP, jurucakap Mahkamah Kyoto berkata, pasukan pembelaan Shinji mengemukakan rayuan bagi keputusan berkenaan, hari ini.

Hakim sebelum ini, menolak pengakuan tidak bersalah Shinji susulan gangguan mental dialaminya yang difailkan peguamnya.

Hakim yang mempengerusikan prosiding itu, Keisuke Masuda dalam keputusan berkata, mangsa ‘dikelilingi api dan asap dalam sekelip mata’ dan mereka mati dengan kematian menyakitkan ketika studio terbabit berubah menjadi neraka.

Katanya, membakar orang hidup-hidup adalah tindakan sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.



Dalam kejadian pada Julai 2019, kebanyakan mangsa terkorban adalah golongan muda, termasuk seorang wanita berusia 21 tahun.

Beberapa mangsa ditemui di tangga menuju bumbung, dipercayai berusaha melarikan diri.

Lebih 30 mangsa lagi cedera dengan pasukan bomba menyifatkan kejadian itu ‘belum pernah berlaku’, selain menegaskan tugas penyelamatan adalah sangat sukar.

Tubuh Shinji turut melecur 90 peratus dan hanya sedar beberapa minggu kemudian, selain kemampuan untuk bercakap pulih selepas itu.



Berdasarkan keterangan mangsa terselamat, Shinji didakwa memecah masuk ke premis terbabit dan menyimbah gasolin di tingkat bawah sebelum menyalakan api dan menjerit ‘matilah’.

Pendakwa pula berkata, Shinji percaya studio dikenali sebagai KyoAni dalam kalangan peminatnya, mencuri idea lelaki terbabit dengan dakwaan itu dinafikan syarikat berkenaan.

Jepun masih mengamalkan hukuman mati, selain sokongan terhadapnya adalah tinggi dan terdapat 107 pesalah yang menunggu pelaksanaannya, pada Disember lalu. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading