STATUS DUDA TAWAN HATI – ASHIRA NIKAHI BAD BUKAN KEADAAN TERDESAK ATAU DIDESAK

“Keputusan berkahwin tidak dibuat dalam keadaan terdesak atau didesak. Saya pernah bertanya Bad, jika mahu berkahwin disebabkan kasihan atau simpati, lebih baik tak payah.
“Bagaimanapun, Bad juga mengalami perasaan yang sama seperti saya lalui. Soal hati dan ketentuan Tuhan, siapalah saya dan suami untuk menidakkan. Apabila keluarga sudah memberi restu, kami dahulukan apa wajib.

“Bercinta bagai nak rak pun tidak berapa sesuai kerana kami bukan makin muda,” jelas penyanyi Ashira Aziz, 36, yang memberitahu bahawa jodohnya dengan anggota kumpulan Indigo, Bad, 46, sudah ditakdirkan.

Bibit cinta berputik ketika menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), tahun lalu, namun Ashira dan Bad tidak mengambil masa lama untuk disatukan dalam ikatan suami isteri.

Mereka kini sah bergelar suami isteri apabila melangsungkan perkahwinan pada Khamis lalu. Dengan dua kali lafaz, pasangan itu dinikahkan oleh bapa Ashira, Syed Abdul Aziz Syed Alwi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kira-kira jam 2.45 petang.

Penyanyi ‘Di Ombak Resah’ ini berkata, dia akhirnya terbuka hati dan tidak ragu-ragu menerima lamaran Bad. Jelas Ashira lagi, dia sebenarnya tidak memandang status lelaki yang mendekatinya.

“Saya tak kisah siapa jodoh. Kali ini, saya dapat duda anak dua. Status duda paling cepat menawan hati saya. Jadi, saya menerima Bad seikhlas hati.

“Bad pun tak kisah dengan status saya. Kami pernah melalui fasa kecundang dalam perkahwinan sebelum ini, jadi kami mungkin lebih matang dalam menongkah kehidupan,” katanya.

Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz berkata, tautan cinta antaranya dengan suami memang tidak terduga.

“Segala-galanya aturan Allah. Saya tidak sangka ia berlaku dengan cepat. Saya memang tidak terfikir langsung mahu berkahwin lagi, tetapi Allah buka hati saya untuk menerimanya.

“Saya nampak suami bersungguh-sungguh dan ikhlas. Jujurnya, saya tak tahu nak cakap soal membabitkan hati, ia sukar untuk dijelaskan. Namun, memang wajah Bad hadir berkali-kali dalam mimpi selepas saya minta petunjuk dengan melakukan solat hajat dan istikharah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ashira kini diuruskan Indigital Music terus rancak dengan kerjaya seninya: “Saya sudah menyelesaikan beberapa kerja penggambaran dan rakaman program televisyen yang tertangguh sebelum ini.

“Ada juga perancangan mahu keluar single termasuk berduet dengan suami. Cuma, semua kena rancang betul-betul. Saya tak mahu terburu-buru dan hasilnya tidak meninggalkan impak,” katanya.

Pada majlis pernikahannya, Ashira menerima sebentuk cincin sebagai tanda mas kahwin, manakala wang hantaran pula dirahsiakan. Ini adalah kedua buat pasangan ini selepas sekian lama bergelar ibu dan bapa tunggal.

Ashira memiliki cahaya mata lelaki, Megat Shazril Haziq, 15. Manakala, Bad pula yang sudah lama menduda sejak 11 tahun lalu, dikurniakan sepasang cahaya mata, iaitu Rayyan, 12, dan Rania, 11.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *