RAMADHAN TAHUN INI NIKAH – FIDA IBRAHIM
Pelakon dan usahawan Rafidah Ibrahim atau lebih dikenali Fida, 35, akhirnya memaklumkan dia akan bernikah dengan pasangannya yang juga seorang ahli perniagaan pada awal Mei ini iaitu pada bulan Ramadan, selepas segala perbincangan dibuat antara keluarga.
Fida berharap semuanya berjalan lancar seperti dirancang. Menurut Fida, dia dan bakal suami juga pada mulanya mahu mengadakan majlis nikah sahaja, tapi semua ahli keluarga ingin mereka membuat resepsi memandangkan dia anak bongsu.
“Perancangan awal kami untuk majlis pernikahan, memang nak dibuat sebelum Ramadan tapi tak sangka tarikh diputuskan itu jatuh dalam bulan puasa. Jadi, kami akur dengan keputusan keluarga.
“Syukur Alhamdulillah, apa yang diharapkan semoga perancangan kami melangkah ke fasa berumah tangga, insha-Allah akan termakbul tidak lama lagi. Malah, majlisnya pun kami buat sederhana.
“Sekarang pun masih lagi pandemik, jadi segala aspek penganjuran majlis termasuk perkahwinan kena mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kami ikut mana yang terbaik.
“Apapun, masih banyak urusan yang perlu kami berdua selesaikan dahulu dan bila difikir-fikir, pemilihan Mei itu adalah tepat. Biarlah semuanya lancar.
“Persediaan dan persiapan pun saya buat biasa-biasa saja, tapi jika ada ahli keluarga dan sahabat yang mahu menambah apa-apa dirasa perlu, terpulang pada mereka,” katanya.
Masih merahsiakan identiti bakal pasangannya yang disebut-sebut ‘bekas pengurus’ sendiri, Fida pernah mendedahkan dia sendiri yang memberanikan diri melayang pertanyaan lamaran kepada lelaki pilihannya kerana mereka sudah kenal lama.
Ujarnya, bakal suami yang dikenalinya lebih 10 tahun lalu itu adalah seorang lelaki yang baik, sangat memahami dan banyak membantu, termasuk Allahyarham ibunya juga amat menyayangi lelaki berkenaan.
Kata Fida yang pernah membintangi drama ‘Cinta Tikar Sejadah’, ‘Setulus Janji’ dan filem ‘Adik Manja Returns’, arwah ibunya juga merestui hubungan mereka sebelum meninggal dunia pada Mei 2017. Pernah popular dengan lagu ‘Apo Kono Eh Jang’ 2012, Fida juga adalah pengasas perniagaan R Secrets Sdn Bhd.
SUDAH ADA IMAM PILIHAN – FIDA TOLAK LAMARAN LELAKI LAIN & WANG BESAR