“MEREKA PERGI ATAS URUSAN KERJA” – POLIS MINTA ISA & RISTEENA MINTA MAAF PADA NETIZEN
"Mereka pergi atas urusan kerja, tapi dalam masa sama apabila dah selesai kerja tu ada masa terluang tu mereka… yerlah baru kahwin kan. Dia akui ketika di sana memang ada keluar… sebab baru kahwin kan. Gambar-gambar yang diambil untuk kenangan je, tapi kesilapannya ialah apabila muat naik hingga mendapat kecaman.
"Berdasarkan keterangan yang diperlukan oleh pihak polis, pasangan ini berjaya mengemukakan bukti serta segala dokumen yang diperlukan. Pihak polis berpuas hati bahawa mereka ke sana bukan atas dasar untuk honeymoon, tapi atas urusan perniagaan. Kita juga dapati mereka menempah pesawat ke Sabah setelah mendapat kebenaran polis.
"Pihak polis dah nasihat mereka supaya counter balik dengan netizen di media sosial untuk minta maaf. Itu lebih baik untuk meredakan isu ini. Apabila timbul isu ini pihak polis pun susah kerana seolah-olah kami dipermainkan oleh orang untuk rentas negeri," kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah.
Bagi meredakan keresahan ramai, pasangan selebriti Isa Khan dan Risteena Munim diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung salah faham yang dicetuskan mengenai perjalanan rentas negeri ke Sabah baru-baru ini. Ashari berkata, ia adalah jalan terbaik bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat yang tepat dalam isu berkenaan.
Klik untuk gambar besar
Beliau ditemui selepas Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 28, serta isteri, Risteena atau Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 32, hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada Jumaat.
Pasangan ini mencetuskan kebimbangan awam apabila didakwa menyalahgunakan kebenaran rentas negeri ke Sabah selepas dilihat memuat naik gambar dan video di media sosial seperti sedang menikmati bulan madu.
Menjelaskan lanjut mengenai isu berkenaan, Ashari berkata pihaknya berpuas hati dengan keterangan yang diberikan pasangan itu. Ujarnya tiada sebarang unsur salah guna kebenaran rentas negeri melainkan isu salah faham.
Bagaimanapun Ashari berkata sama ada Isa mahupun Risteena, mereka mengakui tindakan memuat-naik gambar dan video seperti sedang menikmati bulan madu adalah satu kesilapan.
Tambah Ashari lagi isu Isa dan Risteena adalah berbeza dengan kes melibatkan Instafamous dan suaminya yang didapati memberi keterangan palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu.
"Ia bukan dirancang awal, untuk makluman mereka ke sana untuk lancarkan produk pada awal April ini. Maknanya ia bukan sesuatu yang dirancang oleh mereka seperti yang dilakukan oleh pasangan sebelum ini," jelasnya.
Mengulas mengenai sangkaan orang ramai kononnya wujud unsur berat sebelah dalam isu kebenaran rentas negeri terhadap golongan tertentu termasuk selebriti, Ashari menafikannya.
"Tiada pun kelonggaran untuk artis atau sesiapa, polis layan sama rata asalkan kemukakan dokumen yang diperlukan. Tapi kalau ada cubaan salah guna kebenaran, kita tak teragak-agak untuk ambil tindakan," tuturnya.
Dalam pada itu, usaha media untuk menemubual pasangan artis berkenaan gagal apabila kedua-dua mereka tidak memberi kerjasama.