PAU 2020 – Pahang Perkasakan Muafakat Nasional

Pahang Tolak Sebarang Kerjasama Dengan Bersatu, PKR & DAP

Dato Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang

Ucaptama

01) Alhamdulillah, syukur kepada Allah Subhanahu Wata‘ala, setelah melalui pelbagai halangan dan rintangan, akhirnya, kita dapat juga berkumpul, pada Perhimpunan Agung UMNO ini, dan menunaikan tanggung jawab kita sebagai ahli Parti.

02) Dengan mandat yang diberikan, saya akan memberikan pandangan dan menjelaskan pendirian UMNO Negeri Pahang, berkaitan isu politik semasa.

03) Sebelum itu, saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Presiden, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana telah membentangkan ucapan dasar, yang saya kira telah memberi mesej, kepada kita tentang hala tuju UMNO pada PRU Ke-15 yang akan datang.



Penghargaan Untuk Dato Sri DiRaja Adnan Yaakob

04) Sebagai mewakili akar umbi UMNO Negeri, terlebih dahulu saya melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada pendahulu saya, Yang Berhormat Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan Haji Yaakob, yang telah ‘mewariskan’ ke-pemimpi-nan parti yang kukuh, sekali gus, memastikan negeri Pahang, terus kekal dalam genggaman Barisan Nasional, yang ditunjangi oleh UMNO, selepas Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu.

05) Inilah, apa yang saya sebutkan, sebagai ‘warisan diplomasi Pahang yang tinggi’, yang diperturunkan dari generasi ke generasi, oleh ke-pemimpi-nan Parti terdahulu, termasuklah oleh Yang Berhormat, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Yang Amat Berbahagia, Tun Mohd Khalil Yaakob, serta tokoh-tokoh pemimpin sebelumnya.

06) Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Pahang terus-menerus ditunjangi oleh UMNO, dan Barisan Nasional melebihi enam (6) dekad, dan tentunya, ia sesuatu yang harus kita pertahankan, In Sya Allah.

07) Atas dasar yang telah saya sebutkan tadi, tumpuan kita tentunya untuk ‘move forward’, dengan matlamat menjayakan gerakan-gerakan tersusun lagi rapi, bagi kelangsungan penguasaan demi agama, bangsa dan tanah air.



08) Bagi tujuan itu, kita sudahpun ada wadah dan wahana, iaitu dalam bentuk persepakatan, yang telah terjalin kukuh, khususnya di Pahang, antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional.

PAU 2020

09) Alhamdulillah, melalui persepakatan ini, kita telah berjaya merintis kemenangan bergaya di Cameron Highlands, yang kemudiannya, mencetus beberapa siri kemenangan lain, termasuklah di P.R.K-P.R.K Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim. Kami gembira, kerana kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional bermula di bumi Pahang. Walaupun UMNO lahir di Negeri Johor, namun UMNO kembali subur di bumi Pahang.

10) UMNO Pahang berpendirian, sekiranya kerjasama UMNO dan PAS ini kita teruskan hingga ke P.R.U akan datang, In Sya Allah, bukan sahaja Pahang mampu kita pertahankan, tetapi Putrajaya akan menjadi milik kita.

11) Bagi kami, persepakatan dalam Muafakat Nasional ialah satu-satunya wadah dan wahana yang sewajibnya, menjadi obor perjuangan serta ramuan utama, dalam menentukan kejayaan gemilang kita, pada P.R.U Ke-15 kelak.

12) Setelah mengalami beberapa siri kekalahan di PRK DUN Sg Kandis, Seri Setia, Balakong dan di P.R.K. Parlimen Port Dickson, ditambah pula dengan pelbagai tekanan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan. Pahang mengambil ketetapan, untuk bergerak secara lebih serius dan formal, mengenai jalinan kerjasama antara BN dan PAS melalui Muafakat Nasional.

Permulaan Muafakat Nasional

13) Muafakat Nasional di Pahang, sesungguhnya, telah ‘well tested and strongly proven’ (dengan izin), sepertimana kejayaan cemerlang calon-calon Barisan Nasional dari UMNO pada P.R.K Cameron Highlands dan Chini.

Contohnya, di Cameron Highlands sewaktu PRU-14, calon Barisan Nasional hanya mampu memperolehi majoriti 597 undi sahaja. Tetapi, dengan terjalinnya kerjasama Muafakat Nasional, sewaktu P.R.K kita telah mendapat majoriti besar sebanyak 3,238 undi.

14) Ternyata, keputusan P.R.K Cameron Highlands ini, telah menjadi faktor pengubah, atau ‘game changer’ kepada landskap politik tanah air. Dan akhirnya, menjadi penentu hala tuju hubungan UMNO dan PAS.

15) Kerjasama erat dalam Muafakat Nasional di Pahang yang bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran sesama kita – parti-parti berpaksikan Melayu-Islam, UMNO dengan PAS, disokong pula oleh parti-parti bukan Melayu-Islam dalam Barisan Nasional; hendaklah diteruskan sehingga menjelang dan melangkaui tempoh P.R.U Ke-15 kelak.

16) Untuk makluman Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap dan sidang perwakilan sekalian, di Pahang, pihak pembangkang dari Pakatan Harapan telah cuba untuk mengadu-domba antara kami, namun mereka tidak berjaya.

17) Sebagai contoh, apabila pihak Kerajaan Negeri membentangkan Rang Undang-undang, berkaitan pelantikan lima (5) Ahli Dewan Negeri untuk dilantik tanpa melalui proses pilihanraya, seperti yang dijangka, ianya mendapat tentangan hebat daripada Ahli Dewan Negeri dari Pakatan Harapan. Namun, Alhamdulillah, kelapan-lapan Ahli Dewan Negeri PAS telah menyokong Rang Undang-undang tersebut, sekali gus membolehkan kita, memperolehi sokongan majoriti 2 per 3, untuk ianya diluluskan.

18) Inilah bukti kuat, penangan persepakatan kita dalam Muafakat Nasional di Pahang.

19) Kami percaya, hubungan ini memerlukan keikhlasan dan sikap bertolak-ansur yang sewajarnya. Untuk itu, adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri Pahang, apa juga jenis bantuan dan peruntukan yang Kerajaan Negeri sediakan, wajib diterima dan diagih-agihkan kepada Ahli Dewan Negeri daripada kedua-dua parti.

20) Pendekatan ini membuktikan, UMNO sentiasa terkehadapan serta juara dalam usaha penyatuan ummah.

21) Pahang bersetuju dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, untuk bekerjasama dengan parti Bersatu hanya sehingga PRU Ke-15 sahaja, kerana kami juga merasakan, bahawa parti Bersatu ternyata tidak ikhlas.

22) Kebelakangan ini pula, timbul isu hangat, berkaitan pembahagian kerusi.

23) Contohnya, ada seorang pemimpin mereka, telah membuat kenyataan bahawa, mereka akan meletakkan calon untuk bertanding di lima (5) kawasan Parlimen di Pahang. Siapakah mereka nak menentukan agihan kerusi di Pahang? (Kerusi mereka pun tiada di Pahang ini – Dewan Negeri tiada, Parlimen pun tiada). Malah, mereka tidak berunding terlebih dahulu dengan UMNO yang merupakan parti yang memerintah negeri Pahang ketika ini.

24) Namun kami yakin, dengan kerjasama kukuh Muafakat Nasional serta parti-parti komponen M.C.A dan M.I.C, tanpa penglibatan parti Bersatu pun, kelima-lima kerusi tersebut akan kita menangi…Insya Allah.

25) Mereka ini sudah lah tidak ikhlas, main kotor pula tu!! Saya ada bukti yang kukuh, mereka telah berusaha memujuk dan memikat Ahli Parlimen Cameron Highlands untuk menyertai parti mereka! Namun usaha itu GAGAL, kerana Ahli Parlimen Cameron Highlands ternyata seorang yang sangat setia kepada parti.

Saya nak bagi tahu kepada parti Bersatu, tindak tanduk sedemikian tidak gentleman, adalah lebih baik jika parlimen dibubarkan segera. Kena ingat, kerajaan kita adalah sebuah kerajaan demokrasi, dari rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat. Adalah wajar, mandat dipulangkan segera kepada rakyat demi kestabilan negara yang kita cintai.

26) Sebab itulah juga, saya sentiasa mengingatkan kepada penyokong-penyokong UMNO di Pahang, supaya jangan benarkan mana-mana pihak, untuk memecah-belahkan persepakatan Melayu-Islam, yang telah kita bina.

27) Dalam soal ini, kami ingin tegaskan bahawa, pembahagian kerusi Dewan Negeri di Pahang, adalah menurut ‘status-quo’, merujuk kepada kesemua 33 kerusi yang dikuasai UMNO, M.C.A dan PAS.

28) Manakala, sembilan (9) kerusi yang ketika ini diduduki Ahli Dewan Negeri pembangkang, akan dibincangkan apabila sampai masanya nanti, dalam semangat Muafakat Nasional.

29) Begitu juga di peringkat Parlimen, UMNO Negeri menguasai sembilan (9) daripada 14 kerusi. Dengan mengekalkan ‘status quo’ untuk sembilan (9) kerusi yang telah dimenangi, bermakna, lima (5) lagi kerusi yang dikuasai pembangkang, akan ditentukan calonnya sesama parti-parti dalam Barisan Nasional Negeri dan PAS.

30) Sebagai negeri yang berjaya mempertahankan kemenangan Barisan Nasional, kami memohon mandat dan kepercayaan, atau dengan kata lain, diberikan kuasa autonomi, bagi menentukan kaedah serta hala tuju perjuangan, mengikut acuan kami sendiri.

31) Kami yakin, Muafakat Nasional akan mampu menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen dan sekurang-kurangnya 38 kerusi Dewan Negeri, sekali gus menyumbang kepada mempertahankan Kerajaan Negeri dan pembentukan Kerajaan Pusat kelak.

32) Selain memperkukuhkan Muafakat Nasional, kami sedar, antara resepi kejayaan ialah dengan memberikan keutamaan kepada rakyat, kerana setiap tindak tanduk dan prestasi kita, sentiasa dinilai oleh rakyat. Sebab itulah, kami sentiasa berusaha memastikan, setiap kelompok rakyat sentiasa didampingi, serta mendapat pembelaan yang sewajarnya. Ini termasuklah, melibatkan masyarakat di bandar, di desa, petani, nelayan, peniaga, orang Asli, masyarakat Felda, anak muda, kakitangan kerajaan, golongan wanita sehinggalah kepada imam dan bilal. Pendek kata, kami akan terus menjadi pembela dan jurubicara rakyat di negeri Pahang.

33) Kami sentiasa memikirkan masa depan, dan usaha menambah baik kehidupan mereka. Maka tidak hairanlah, jika kita lihat Kerajaan Negeri Pahang sentiasa ter-kehadapan, ketika rakyatnya menghadapi kesusahan, termasuklah ketika wabak pandemik COVID-19 dan juga banjir besar baru-baru ini.

34) Kami juga memperkenalkan pelbagai dasar, bagi membantu rakyat yang susah seperti pemberian rumah percuma, melalui inisiatif Rumah Rakyat Pahang. Tahun lalu, sebanyak 100 buah dibina, dan disumbangkan, dan tahun ini, sebanyak 100 buah lagi sedang dibina dan diberikan percuma kepada yang memerlukan.

In Sya Allah Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi, jika pada Julai ini, kedudukan kewangan Negeri bertambah baik, Kerajaan Negeri akan mengumumkan tambahan 100 unit lagi Rumah Rakyat Pahang.

35) Sebelum berundur, sukacita saya sarankan kepada semua agar yakin dan percayalah kepada ‘winning formula’ (dengan izin), yang telah kita ada ini, dan hendaklah kita terus perkukuhkan.

36) Kita perlu belajar dan mengambil iktibar daripada kisah perjalanan darat Luqman Al-Hakim, dengan seorang anak dan seekor keldainya. Sungguhpun, kita meraikan kritikan dan perbezaan pendapat, khususnya yang membina terhadap kita, namun pendirian kita mestilah tetap, tidak goyah, agar kaedah, hala tuju dan matlamat kita untuk memenangi P.R.U Ke-15 akan dicapai dengan cemerlang.

37) Adalah menjadi keutamaan kami di Pahang supaya Muafakat Nasional menjadi kenyataan dan terus dikekalkan, malah diperkasakan lagi.

38) Selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, saya telahpun membuat yang terbaik untuk mengukuhkan Muafakat Nasional di negeri Pahang.

39) Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya, dilakukan satu lagi anjakan ke tahap lebih tinggi, demi pengukuhannya dan bagi mentautkan sekemas-kemasnya persepakatan kita dalam Muafakat Nasional. Agar ia bukan sekadar piagam yang termeterai, sebaliknya, menjadi ikatan janji yang perlu dipatuhi, oleh kedua-dua pihak.

40) Parti UMNO yang kita sayangi ini, menagih pengorbanan setiap dari kita. Andai bahtera ini tersesat haluan, kita tidak akan sampai di daratan. Andai patah dayung diperjalanan, kudrat ditangan kita kerahkan. Namun tidak sekali kita tinggalkan barisan.

Marilah kita mencari titik persamaan, yang carik kita jahitkan, yang kusut kita leraikan. Kita pintal dan anyam tali perjuangan ini, menjadi layar yang berkibar membelah lautan menuju pulau impian. Ayuh! Kita satukan hati-hati kita yang berbagai warna dan rasa. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, sama lebur sama binasa, serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

41) Saya ingin tegaskan di sini, bahawa kami di Pahang, sentiasa bersedia, menghadapi sebarang kemungkinan yang di luar jangkaan. Dan kami akan pastikan, rumah yang kami berlindung selama ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan kukuh, tidak bocor atapnya, tidak retak dindingnya dan tidak rekah lantainya.

Kami tidak mahu

Mendengar Guruh di Langit, Air Tempayan Dicurahkan.
Yang DiKejar Tak Dapat, Yang DiKendong Berciciran.
Inilah pendirian Pahang. This is Pahang!!!

 

PAU 2020 – Perak Gasak ‘Kluster Pengkhianat’ UMNO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker