PAU 2020 – Ucapan Dasar Presiden UMNO

UCAPAN DASAR PRESIDEN YB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI PERASMIAN PERSIDANGAN AGUNG UMNO 2020

Presiden UMNO
Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2020

1. Izinkan saya merafa’kan kesyukuran di saat kita menghadapi pelbagai kesukaran dengan kehadiran pandemik Covid-19 kita masih dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita bersama dalam kelangsungan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO.

Walaupun tidak semuanya secara bersemuka namun ia dapat disertai secara maya dalam dinamika dunia tanpa sempadan.




2. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung, bahawa perhimpunan hari ini, memenuhi kehendak Perlembagaan Parti, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara, dan mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN). Perhimpunan ini juga mendapat permit polis.

Ucapan Terimakasih

3. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri yang telah berjaya melaksanakan persidangan tahunan masing-masing.

Saya menghayati setiap bait-bait suara hati Dato’ Seri Timbalan Presiden sewaktu merasmikan persidangan sayap-sayap semalam.

Terima kasih kerana menyeru agar seluruh ahli UMNO mengukuhkan ukhuwah perpaduan untuk kembali melayarkan bahtera UMNO.



4. Begitu juga saya menghayati ucapan Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri serta pandangan setiap perwakilan yang membahaskan usul-usul.

Bak kata pepatah; tiangnya jangan patah, layarnya jangan rekah, dindingnya jangan rebah, biarpun pendayungnya sudah berubah, kita tetap melayarkan bahtera ini mengharungi gelombang perjuangan.

5. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas atas keprihatinan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri dalam menyahut seruan nurani rakyat yang terkesan oleh penularan virus corona.

Usaha mewujudkan program sanitasi dan khidmat guaman percuma kepada mereka yang menghadapi kompaun RM10,000 sangat mengujakan.



Mereka juga membantu mangsa banjir di seluruh negara. Tahniah dan terima kasih.

UMNO Sejak 1946

6. Sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, perjuangan UMNO tetap sama untuk membela rakyat. Kerana itu, UMNO sangat prihatin dengan realiti kehidupan rakyat.

UMNO meletakkan hatinya dalam diri rakyat. Kita tahu rakyat terkesan dengan pandemik ini. Lebih 800,000 telah hilang pekerjaan.

Realitinya, dahulu ada yang memandu kapal terbang tetapi kini memandu e-hailing, ada yang menjadi penghantar makanan.



Malah ada yang terpaksa membuka gerai dan payung menjaja di tepi jalan. Semua ini demi kelangsungan kehidupan.

7. Lebih memeritkan lagi, rakyat dibebankan dengan kenaikan harga minyak. Disusuli pula kenaikan harga barangan keperluan tanpa kawalan.

Dalam situasi rakyat semakin susah, mereka dihimpit pula dengan pelbagai penguatkuasaan undang-undang yang terlalu menekan.

8. Kita amat simpati dengan kes seorang remaja di Batu Berendam yang pergi ke kedai runcit hanya untuk bertanya tentang ubat bagi ibunya yang demam di rumah telah dikenakan kompaun sehingga RM10,000.



9. Begitu juga dengan kenaikan bil elektrik yang melambung kerana penggunaan penapis air, peti sejuk dan penghawa dingin sewaktu musim PKP, dan saya sendiri menuntut rebat elektrik diberikan kepada pengguna.

10. Kita juga diberitakan adanya motorsikal disita kerana ekzos yang diubahsuai atau “modified”. Bagaimana mereka ingin meneruskan survival kehidupan, sedangkan itulah satu-satunya kenderaan yang mereka ada untuk mencari rezeki.

Apakah kita sudah buta hati, dan kejam, membiarkan kehidupan rakyat terus menerus terbeban? Rakyat kecewa dan terus merana.

Bawa Suara Rakyat

11. UMNO membawa suara rakyat. UMNO konsisten memainkan peranan semak dan imbang. Keperitan rakyat adalah keperitan kita semua. Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa jua.



Kerana itulah UMNO tidak henti-henti memperjuangkan pemberian moratorium tanpa syarat dan pengeluaran wang KWSP sekali gus berjumlah RM10,000.

Namun, ia masih belum ditunaikan sepenuhnya. Pakej bantuan yang dijanjikan pun diberi “separuh masak”. Tidak menyeluruh.

12. UMNO secara tradisinya adalah tempat rakyat mengadu. UMNO is for the rakyat to seek solace. Inilah DNA UMNO.

13. UMNO ini sebuah parti keramat, malangnya ia dijatuhkan kerana fitnah. Akhirnya kerajaan yang dibina oleh pemfitnah itu terjatuh jua dengan sendirinya.

Maruah UMNO Bukan Dagangan

14. Maruah UMNO cuba di beli. UMNO ditekan untuk dibubarkan. Tetapi saya menolak semua tawaran yang diberikan. “UMNO tidak akan menukar tuan, Tuan UMNO adalah rakyat”.

Presiden UMNO memilih jalan sukar! Tidak tunduk dengan sebarang ugutan.

15. Sesungguhnya, saya tidak keseorangan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli peringkat akar umbi, bahagian, negeri dan Majlis Kerja Tertinggi kerana bersama-sama saya untuk terus mempertahankan UMNO.

UMNO tetap tegas dengan pendiriannya. Kita tidak akan terpengaruh dengan pujuk rayu kluster “apit lempang cencang galang” untuk merubah keputusan kita.

Keputusan MKT UMNO

16. Begitu juga dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi pada 12 Mac 2020.

Saya ingin menjelaskan bahawa kita bersetuju untuk Ahli-ahli Parlimen UMNO, memberikan sokongan secara “en bloc” kepada pembentukan kerajaan baharu selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.

17. Selepas itu, sewajarnya-lah setiap keputusan yang hendak dibuat perlu dirujuk kepada parti, bukan dilakukan secara individu.

Bak kata bidalan, “jika berkeluarga ada induknya, jika berjemaah ada imamnya, jika berparti ada nakhodanya”.

18. Begitu juga dalam isu kerjasama dengan PPBM. Perlu saya tegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi daripada awal pembentukan kerajaan bersama PPBM ada tempoh waktunya sehingga PRU-15. Ini adalah keputusan besar parti.

Kita tidak boleh berganjak. Walau ada orang mengatakan saya menggunakan kuasa veto, itu hanya satu tuduhan melulu. Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk veto.

Semua keputusan yang dibuat adalah secara jamai’e. Ini adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi. Apa yang telah diputuskan adalah muktamad.

19. Sebenarnya, tuntutan kita sebaik sahaja runtuhnya kerajaan PH, kita mahu PRU diadakan, untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Bagaimanapun kesan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia menghalang ia dilakukan. Sehubungan dengan itu, kita bersetuju jawatan Perdana Menteri diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan syarat, PRU hendaklah diadakan pada Januari 2021 atau selewat-lewatnya suku pertama tahun 2021.

20. Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, berubah kepada proklamasi darurat atas alasan untuk memerangi Covid-19, sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar. Tidak perlu sembunyikan udang di sebalik batu.

UMNO Junjung Titah Seri Paduka Agong

21. Kita menjunjung kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan titah proklamasi darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong demi kepentingan rakyat.

Kita juga menjunjung kasih titah perkenan Tuanku untuk Parlimen bersidang.

22. Namun, ada pihak yang cuba memberi pelbagai alasan supaya persidangan Parlimen tidak diadakan. Sedangkan Parlimen itu teras simbol demokrasi negara kita.

Rakyat amat berharap dengan adanya vaksinasi yang sedang dilaksanakan, Parlimen harus bersidang dan PRU-15 tidak ditangguhkan.

23. Realiti politik hari ini, memerlukan UMNO melakukan penjajaran penyesuaian baharu untuk meneruskan matlamat penubuhannya.

Kerana itulah kewajaran dan kematangan saf kepimpinan UMNO menolak kerjasama dengan PPBM setelah kita sedari ketidakjujuran muslihat politik yang dilakukan oleh mereka terhadap UMNO.

24. Ingin saya tegaskan, dukungan terhadap pembentukan kerajaan Perikatan Nasional adalah demi rakyat. Kerajaan sebelumnya menzalimi rakyat. Mereka gagal melaksanakan manifesto yang akhirnya mereka akui ia bukan kitab suci. Malah janji 100 hari pertama pun ke laut!

25. UMNO tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam Perikatan Nasional.

Ketetapan ini bukan hanya dari Majlis Kerja Tertinggi tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik PPBM. Mereka berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO.

26. Kita sedar, malah semua ahli UMNO sedar, bahawa PPBM tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya dan tidak mempunyai sokongan akar umbi.

Namun, hasrat ular lidi untuk menelan ular sawa terus dipergiatkan tanpa henti. Termasuklah muslihat politik ketika kita bersama-sama menghadapi pilihanraya negeri Sabah. Once bitten, twice shy.

Penolakan Akar Umbi UMNO

27. Penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian.

Malah, 147 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut.

28. Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Terkilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya.

UMNO Perlu Stabil Untuk Rakyat

29. Sesungguhnya, rakyat perlu berasa sejahtera. Sejahtera daripada ancaman luar dan dalam negara. Sejahtera dari segi kesihatan, ekonomi dan politik.

Rakyat rindukan kedamaian, dan benci kepada politik berkecamuk tanpa penyelesaian. Kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat berasa aman, sejahtera, cukup makan-pakai, boleh belajar dan ada tempat tinggal.

30. Kestabilan mula tergugat apabila Pakatan Harapan menyerang UMNO dan Barisan Nasional. Bukan sahaja dari sudut pendekatan politik biasa, tetapi dari segenap penjuru.

Media baharu dipergunakan untuk menabur lada di bibir pendiam, dan menitik cuka di luka perbezaan. Akhirnya, mereka berjaya menjadi raja fitnah dan membina persepsi kotor, untuk dipilih menjadi pemerintah yang berpijak di lantai penuh dusta.

31. Pembohongan tidak mampu menjadikan mereka pemimpin dan pemerintah berwibawa. Alhamdulillah, rakyat cepat sedar dan ramai sedang menunggu bilakah PRU-15 untuk menghukum pendusta yang membohongi mereka dahulu.

32. Sesungguhnya ubat kepada politik semasa ini adalah kestabilan. Kestabilan Malaysia adalah kejayaan besar UMNO. Kita harus mengakui bahawa kestabilan politik merupakan kunci kepada kejayaan negara.

Ia bukan hanya dalam bidang keselamatan malah dalam bidang ekonomi dan sosial.

33. UMNO, melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional mentadbir negara selama 63 tahun. Pada zaman itu rakyat dapat mengecapi kestabilan.

Hari ini kestabilan sudah tergugat. Semestinya, kita semua perlu menghargai kestabilan. Ia mesti bermula disini. UMNO stabil, kerajaan stabil, dan negara stabil.

PAU 2020

Muafakat Nasional

34. Saya ingin menjelaskan jalinan politik antara UMNO dan PAS, berpaksikan kepada roh penyatuan ummah. Ia telah kita jelmakan dengan iringan deraian air mata ahli-ahli kedua-dua parti bersama doa, harapan dan restu rakyat.

Bayangkan 6 dekad lamanya kita bersengketa, akhirnya kita dapat bertentang mata. Sehingga mewujudkan piagam dan perjanjian persefahaman yang kita tandatangani pada 14 September 2019.

35. Namun, setelah menyertai sebahagian daripada kerajaan, tiba-tiba pendirian politik telah mula berubah. Ingin saya tegaskan kita hanya menyokong pembentukan sebuah kerajaan yang kemudiannya dinamakan kerajaan Perikatan Nasional.

Tiba-tiba ada pihak membentuk gabungan parti politik yang juga dinamakan Perikatan Nasional tanpa penyertaan UMNO.

36. Kita telah persetujui dalam Muafakat Nasional untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti-parti politik. UMNO tetap tegas dengan pendirian ini.

Kedua-dua kaki UMNO tetap berpijak di bumi yang sama. Sikap politik UMNO tidak akan seperti lalang ditiup angin.

37. Piagam muafakat yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan.

Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama. Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan. Apatah lagi, pertambahan kerusi.

38. Kita yakin permuafakatan ini mendapat sokongan padu dalam kancah politik negara dan membuka ruang kepada UMNO dan BN kembali menerajui negara.

39. UMNO sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemahkan piagam dan perjanjian persefahaman kerana ianya merupakan doa dan harapan ummah keseluruhan.

Yakinlah Muafakat Nasional yang teguh mampu menjelmakan kekuatan politik untuk kita semua. Sesungguhnya Muafakat Nasional inilah merupakan langkah dinamik ke arah reset politik di negara ini.


40. Mari kita mengimbau sejarah penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974, selepas berlakunya tragedi kemusnahan perpaduan kaum yang menjadi detik hitam pada tahun 1969 di negara kita.

Ia mengakibatkan kestabilan dan keharmonian yang dibina sejak merdeka berkecai di jalanan.

41. Sesungguhnya penubuhan Barisan Nasional itu adalah reset politik yang pertama. Malah situasi yang menuntut reset politik sebegini pernah dialami dalam menangani krisis politik di Sabah dengan penubuhan UMNO Sabah menggantikan USNO pada tahun 1991.

42. Perlu kita hayati landskap politik negara ini sangat dinamik. Selepas PRU-14, perubahan kerajaan negeri di Johor, Melaka, Perak dan Sabah adalah bukti nyata.

UMNO kembali menerajui kerajaan di tiga buah negeri dan menjadi pimpinan kedua di negeri di bawah bayu. Inilah realiti politik yang telah berlaku dan sedang kita alami.

43. Sesungguhnya, ingin saya nyatakan bahawa tindakan reset politik tersebut ada kaitan dengan kestabilan dan keharmonian rakyat. Jika dahulu, negara tidak stabil kerana menghadapi rusuhan kaum.

Kali ini, meski pun tidak ada pergaduhan kaum, ketidakstabilan politik menyebabkan negara terjebak ke dalam kancah kejatuhan ekonomi. Apa yang telah kita bina selama ini hancur lebur.

44. Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini?

Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah ‘unity government’ demi kestabilan politik negara.

45. UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU-15 nanti. Namun, terlebih dahulu UMNO wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Untuk itu, kita perlu dominan, baharulah kita relevan.

46. Justeru, kepimpinan UMNO di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini.

47. UMNO harus kembali kepada fitrah asalnya. UMNO memimpin bukan untuk dipimpin. UMNO memerintah bukan untuk diperintah. UMNO harus berdiri megah memperkasakan Barisan Nasional.

PAU 2020

48. Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan komponen Barisan Nasional, MCA, MIC yang setia bersama UMNO sejak 65 tahun lalu, dan juga PBRS. Kita mengharungi susah senang, jatuh dan bangun bersama.

Sahabat sejati adalah mereka yang sanggup berada disisimu ketika kamu memerlukan sokongan walau saat itu mereka sepatutnya berada di tempat lain yang lebih menyeronokkan.

49. Laporan Bank Dunia menyatakan Malaysia semakin ketinggalan dalam kalangan negara-negara ASEAN dari segi pelaburan dan pembangunan.

Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mendedahkan pelaburan asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh sebanyak 56% pada tahun 2020, manakala laporan United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) menyatakan kadar penurunan pelaburan asing ke Malaysia adalah sebanyak 68%, paling corot di rantau ini.

50. Berbanding sebelum PRU-14, Malaysia merupakan negara yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi serta penerima pelaburan asing terbesar di rantau Asia.

Sekarang kita kian ketinggalan. Negara jiran menerima limpahan pelaburan walaupun mereka turut dilanda pandemik Covid-19.

51. Bagi menjadi kerajaan semula, kita perlu kemukakan tawaran baharu yang boleh mengembalikan hak-hak rakyat yang hilang.

52. UMNO hendaklah tampil dengan satu model ekonomi baharu yang berteraskan EKONOMI PATRIOTISME, yang bermatlamat memberi keadilan ekonomi kepada seluruh rakyat disamping membina negara yang stabil.

Jadi, agenda ekonomi Barisan Nasional yang tergendala apabila kerajaan bertukar tangan pada PRU14 hendaklah dikendalikan.

53. Ekonomi patriotisme hendaklah dijadikan asas kepada kerangka model ekonomi pemerkasaan pembangunan negara pasca pandemik Covid-19.

PAU 2020

Bersedia Dengan Kemungkinan

54. Memahami realiti politik semasa, Barisan Nasional hendaklah bersedia besar kemungkinan akan menghadapi PRU-15 secara bersendirian.

Biar saya jelaskan, once and for all, untuk UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15, pertamanya, kita mesti menang kerusi terbanyak. Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita.

55. Dominan bukan bermaksud kita angkuh. UMNO adalah parti terbesar bangsa Melayu. Apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepimpinan negara ini, rakyat tidak mengecapi kestabilan.

Selama 22 bulan rakyat merana, raja dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, bahasa kebangsaan diremehkan, aset-aset negara dilelong dengan sewenang-wenangnya.

Baru-baru ini Umat Islam kehilangan Hak Eksklusif atas kalimah Allah.

56. Kita bukan egoistik. Kita juga tidak naif sehingga mudah dibuli. Apatah lagi untuk apologetik. Tidak!

57. Kini budaya melompat parti semakin menjadi-jadi. Pengundi dan rakyat dikhianati. Jawatan dan ghanimah bertukar dengan maruah diri. Apakah budaya ini menjadi amalan yang akan diwarisi?

58. Sesungguhnya, kita perlu membuka minda dan berfikir dua tiga tapak ke hadapan demi masa depan anak cucu kita. Sedarlah, politik ini ditentukan oleh kluster rakyat. Bukan kluster gila kuasa, kluster broker, kluster oportunis atau kluster lompat pagar.

59. UMNO hari ini diasak dari luar dan tidak kurang dari dalam. Sesungguhnya, UMNO tidak boleh untuk tidak berpadu. Perpaduan merupakan asas kepada keteguhan semua organisasi politik.

UMNO tidak terkecuali dan wajib merapatkan saf di kalangan pimpinannya.

As-Saf 4: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang tersusun rapi seumpama mereka satu bangunan kukuh.”

60. Akar umbi parti serta rakyat amat mendambakan UMNO dan BN menjadi dominan semula. Kepimpinan di pelbagai peringkat perlu meraikan harapan ini dengan respon positif ke arah menjadikan ia satu realiti.

61. Kita amat bimbang jika kita terlalu meraikan perbezaan pendapat sehingga membuka ruang perpecahan dalam kalangan ahli UMNO, dan lebih parah lagi sekiranya setiap pemilik idea berkembang menjadi kabilah-kabilah yang akhirnya memecahbelahkan parti.

62. Usaha untuk memecahbelahkan UMNO dari luar masih belum berhenti. Adalah tanggungjawab kita semua untuk menjadi ‘lidi seikat’ yang mampu menyapu kotoran dan menghapuskan persepsi negatif terhadap UMNO dan kita semua.

63. Syabas saya ucapkan kepada akar umbi dan kepimpinannya yang tidak pernah goyah, walaupun ada kocakan di bumbung kepimpinan. Kita tahu, adanya pelbagai tawaran jawatan, pembelian pengaruh, dan ugutan di peringkat cawangan, namun mereka tetap istiqamah.

64. Akar tunjang inilah yang memastikan UMNO kukuh sebagai pohon subur untuk memayungi rakyat, dan menjadi pengubat rindu UMNO untuk memimpin kerajaan semula. Doa dan harapan ini jangan kita gagalkan.

65. Malah, di kesemua hampir 22,000 cawangan, kesiap-siagaan untuk meredah medan pertempuran bagi memenangkan semula UMNO dalam PRU-15 nanti telah pun bergema.

Mereka telah bersedia untuk mengembalikan kegemilangan maruah UMNO yang pernah tersimbah dengan kehinaan akibat kekalahan lalu.

Ribut Dalam Cawan

66. Di peringkat Bahagian, kepimpinan dan dukungan seluruh jajaran saf kepimpinan cukup kukuh. Biarpun terdapat sedikit keributan, ianya hanyalah ‘ribut dalam cawan’ yang tidak melunturkan semangat kerja sepasukan dalam UMNO.

67. Malah di peringkat Perhubungan UMNO Negeri juga, saya dapati kesatu-paduan yang jelas terpancar daripada lontaran pandangan semua Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang turut dilibatkan dalam membuat keputusan parti di peringkat Biro Politik atau dalam Majlis Kerja Tertinggi.

68. Lebih menggembirakan, biarpun kepimpinan tertinggi dilabelkan dengan pelbagai gelaran dan kluster, namun pada hakikatnya, setiap keputusan besar parti dibuat bersama.

Tiada sebarang suara sumbang. Biarpun di luar terdapat bermacam tafsiran daripada penganalisis politik dan seteru politik yang mahu melihat UMNO berpecah.

69. Marilah kita kembali merapatkan barisan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Biduk telah berlalu, kiambang perlu kembali bertaut. Mari kita mengorak langkah ke hadapan.

UMNO yang terluka dalam PRU-14, perlu bangkit semula bak harimau terluka mahu bertindak.

70. Kita balut luka lama. Kita cari ubat untuk mengubati penyakit yang hinggap selama ini. Biarpun ubat itu pahit, namun kepahitan ubat itulah yang menjadikan ia mujarab untuk kesembuhan.

No PPBM, No Anwar, No DAP

71. Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi PRU-15,
Kita tetap dengan pegangan ….. NO PPBM, NO ANWAR, NO DAP,
Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional.

72. Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang benderang sedang menanti kita di hujung terowong.

UMNO … terus mara.
Kepada Allah SWT kita berserah.

BERSATU KHIANAT- UMNO Ibarat “Luka Yang Ditaruh Garam”

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button