SEMINGGU BAPA MENINGGAL – ACHEY RASA SERBA SALAH KEMBALI BERAKSI DI MLS2
"Sebenarnya untuk pengetahuan semua, saya ada minor trauma. Sebelum ini tak pernah kena… tapi malam suku akhir tempoh hari, saya menggigil masa nak naik pentas untuk buat persembahan.
"Memang sangat pelik. Walaupun saya mampu untuk buat persembahan, tapi tidak sebaik pada malam sebelum ini. Saya dengan arwah sangat rapat dan pemergiannya memang memberi kesan.
"Sejujurnya saya rasa bersalah… mungkin sebab saya, Mashuk tersingkir. Sebab masa buat persembahan, saya ada terfikir ‘aku ni nak buat kelakar untuk orang padahal bapa baru meninggal’.
"Tapi itulah tanggungjawab dan tugas yang saya terpaksa dilakukan," kata pelawak Achey yang kembali membuat persembahan di Muzikal Lawak Superstar musim ke-2 (MLS2), selepas kehilangan bapa tersayang pada 19 Mac lalu.
Nampaknya kehilangan bapanya itu cukup mengganggu tumpuan Achey hingga menyebabkan dia gagal membawa kumpulannya, Mashuk untuk mara ke peringkat separuh akhir MLS.
Klik untuk gambar besar
Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah juga mendedahkan dia berdepan trauma dan badannya menggigil sebelum naik ke pentas MLS2 yang berlangsung pada Jumaat lalu, iaitu genap seminggu selepas kematian bapanya.
Namun demi tanggjawab dan tugas, pelawak berusia 35 tahun ini tetap meneruskan persembahan biarpun hati berasa serba salah untuk berjenaka dalam keadaan dia masih bersedih.
Achey turut berterima kasih kerana ahli kumpulan Mashuk yang lain iaitu Shuk Sahar dan Mark Adam kerana memahami situasinya ketika itu.
Dalam pada itu, penyanyi lagu ‘Yang Terindah’ ini memberitahu ibunya antara individu yang memberi kekuatan untuk meneruskan persembahan pada malam itu selain isteri dan rakan-rakan baik.
Menurut Achey, dia juga meminta ibunya untuk menutup televisyen kerana tidak mahu persembahan lawaknya ditonton memandangkan seisi keluarga juga sedang dalam tempoh berkabung.
"Kekuatan saya adalah emak. Sebelum kembali ke ibu kota, saya minta izin dan minta maaf banyak-banyak dengan dia sebab ada tugas yang perlu saya buat, iaitu membuat jenaka dan membuat orang ketawa.
"Tapi saya berpesan pada mak supaya tutup TV dan jangan tonton program itu. Sebab saya tak nak emak tengok saya buat kelakar walhal ayah baru meninggal dunia… rasa macam tak hormat," ujarnya.
Allahyarham bapa kepada Achey iaitu Hamzah Salam dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Segamat sebelum meninggal dunia pada 19 Mac lalu.
www.myartis.com / Sumber: mStar