“SUDAH DUA TAHUN DIA (SUAMI) ‘MILD STROKE’…” – AMYZA TIDAK PERNAH PATAH SEMANGAT

"Suami memang nampak biasa dan tidak seperti orang sakit pun. Tapi sebenarnya sudah dua tahun dia mengalami ‘mild stroke’ dari kepala sehingga kaki. Orang takkan nampak pun kesan itu, sebaliknya suami saja yang rasa.

"Kalau nak tahu, 24 jam dia akan rasa kebas dan seperti terkena renjatan elektirk apabila disentuh. Jadi, cuba bayangkan macam mana dia melalui kehidupan dan rutin harian. Namun, dia tetap positif dan saya juga kena kuat dengan sentiasa memberikan kata-kata semangat.

"Kalau seorang daripada kami lemah, memang susah. Syukur, dia seorang yang kuat dari segi mental. Disebabkan itu, setiap hari kami melalui fasa ini dengan penuh kasih sayang yang semakin menebal.

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesihatan suami," kata pelakon Amyza Aznan yang tidak pernah patah semangat bagi memastikan suami, Khairil Idzhar Md Nazir sembuh selepas diserang angin ahmar sejak dua tahun lalu.

Amyza, 45, berkata, keadaan kesihatan suaminya masih sama dan tidak ada sebarang perubahan sepanjang tempoh itu sehingga sekarang. Suaminya mengalami ‘mild stroke’ di seluruh anggota badan bahagian kiri dari kepala sehingga kaki.

Menurut Amyza, dia sudah melakukan pelbagai cara dan ikhtiar termasuk rawatan moden dan tradisional, namun masih tiada sebarang perubahan walau satu peratus. Malah, suaminya hanya diberikan ubat dan menjalani pemeriksaan berkala di hospital setiap bulan.

"Masa awal-awal kena, sudah buat terapi dan buat semua prosedur disaran doktor. Selepas itu tidak ada juga perubahan. Saya juga sudah bawa suami berbekam, urut dan sebagainya, tapi belum ada perubahan.

"Jadi, buat masa sekarang dia hanya bergantung dengan ubat doktor. Terlalu banyak perkongsian mengenai pengubatan masalah ‘stroke’ ini diberikan peminat berdasarkan pengalaman mereka. Saya hargai sangat," jelasnya.

Dalam masa sama, Amyza berkata, suaminya yang pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri akibat serangan jantung pada 2017 itu tetap bekerja dan turut membantu menguruskan kerjaya seninya.

"Dia masih bekerja di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur. Dia turut membantu dengan memandu kereta untuk menghantar saya ke lokasi penggambaran. Sebab dia tahu saya kena bekerja lebih untuk keluarga, jadi dia bantu dari segi itu," tuturnya.

Untuk makluman, Amyza dan Khairil yang berkahwin pada 2004 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, 18, Andrian Adam, 15, dan Ayden Andika, 9.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *