Pekerja kebun sayur warga Myanmar ditemukan maut dipercayai bergaduh

IPOH, 5 April — Gara-gara bergaduh dalam keadaan mabuk, seorang pekerja kebun sayur warga Myanmar ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di dalam pondok kebun di Ayer Hitam Labu, Tronoh Mines, dekat Kampar, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu dari pemilik kebun berkenaan kira-kira pukul 7 pagi dan mendapati seorang lelaki tanpa indentiti ditemukan mati dalam keadaan terlentang tanpa berbaju dan berseluar pendek hijau.

“Pemeriksaan rambang pada fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan hentakan objek tumpul di kepala dan koyakan pada bahagian muka. Turut ditemukan di tempat kejadian adalah sebilah tukul besi dengan kesan darah, sebilah parang berukuran 60 sentimeter dan botol minuman keras berhampiran mayat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasron Nazri berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca dari pergaduhan antara mangsa dan suspek yang dalam keadaan mabuk.



“Suspek dipercayai menggunakan tukul besi sebagai senjata untuk memukul bahagian kepala mangsa,” katanya menambah mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berumur 30-an yang juga pekerja kebun sayur berkenaan pada kira-kira pukul 3.30 petang tadi bagi membantu siasatan dan lelaki berkenaan mendakwa suspek telah melarikan diri membawa bersama beg pakaian.

“Tindakan mengesan suspek yang juga rakan sekerja mangsa warga Myanmar serta tiga lagi rakan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA



Imigresen serbu kebun durian, tahan 110 pendatang asing

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker