‘Sendu ke saya ni?’ – Keena

Kuala Lumpur: “Bila sebut nama saya saja, orang kata ‘artis sendu’ dan saya pun jadi sedih. Bukan sedih sebab apa, tapi kerana saya ada dimana-mana. Campak mana-mana pun saya boleh hidup sama ada menyanyi, berlakon serta berlakon teater,”.

Demikian kata penyanyi dan pelakon Keena Wahab melahirkan kesedihan terhadap cemuhan segelintir pihak berkenaan kariernya yang dikatakan tidak menjadi.

Bekas protege Datuk Awie dalam program Mentor pada 2009 berkata, dia berpegang teguh kepada nasihat sifunya ini agar meneruskan perjuangan seni dan jangan mengalah dan berhenti.



“Kalau boleh saya tak nak naik dengan kontroversi murahan. Biarlah saya naik tidak mendadak, perlahan-lahan dengan kegigihan sebenar.

“Syukur, sekarang saya dah ada produksi sendiri iaitu Advance Idea Concept yang ditubuhkan bersama rakan kongsi, Natasha Datuk Zamrud.

“Kami dah hasilkan dua produk iaitu telefilem Jembalang Bangkit dan supertele Misteri Roh Pulau Penunggu. Sekarang pun saya banyak dapat tawaran tulis skrip drama,” katanya kepada Harian Metro.



Keena atau nama sebenar Suriana Abdul Wahab berkata, ramai yang tidak tahu dia sebenarnya mengikuti bidang penulisan semasa belajar dan pernah menghasilkan novel.

“Saya pun banyak tulis lirik lagu tapi gunakan nama lain. Sekarang barulah saya tampil dengan nama sebenar. Untuk Misteri Roh Pulau Penunggu pun saya tulis skrip sendiri dan dapat pujian Astro.

“Alhamdulillah, orang nampak usaha saya. Jadi saya tak lagi dicop sendu sebabnya saya tak dikenali tak apa. Tapi kerjaya saya masih berlangsung,” katanya.

Terbaharu, Keena akan tampil sebagai Hasnah dalam teater Madu Tiga Madu di Grand Barakah Hotel Ampang pada 3 hingga 5 Mac ini yang diarahkan oleh Amran Nasruddin.



metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button