Arsenal buka pintu buat City rangkul gelaran liga

LIVERPOOL: Kegagalan Arsenal mengakhiri badi Anfield yang menyaksikan mereka sekadar seri 2-2 dengan Liverpool biarpun mendahului perlawanan 2-0, malam tadi membuka pintu buat Manchester City untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris daripada The Gunners.

Skuad bimbingan Mikel Arteta masih mendahului dengan kelebihan enam mata di tangga teratas liga tetapi buat kali pertama dalam tempoh hampir dua bulan City kembali meletakkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara di tangan mereka.

City mempunyai baki sembilan perlawanan liga berbanding Arsenal lapan selain kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Etihad pada 26 April ini.

Sejak tewas kepada City pada pertengahan Februari lalu, Arsenal membuktikan kekurangan pengalaman bukan halangan untuk mereka merebut gelaran juara liga.

Tujuh kemenangan berturut-turut berjaya dilakar anak buah Arteta yang turut diwarnai gol pada lewat permainan sekali gus membuktikan The Gunners mempunyai kualiti untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, Arsenal buntu apabila beraksi di bawah tekanan di hadapan penyokong di Anfield yang dahagakan kejayaan selepas musim sukar dialami Liverpool.

Arteta memberi amaran sebelum perlawanan apabila menjangkakan pasukannya akan berdepan suasana seperti ‘hutan’ di stadium yang menyaksikan Arsenal tidak pernah menang dalam saingan liga sejak pengurus itu mengetuai jentera tengah The Gunners pada 2012.

Arsenal menjaringkan dua gol menerusi Gabriel Martinelli dan Gabriel Jesus dan berpeluang untuk menambah jaringan tetapi percubaan Jesus tersasar selain percubaan Oleksandr Zinchenko digagalkan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

“Kami memulakan permainan dengan baik, kami mendominasinya dan membawa perlawanan seperti yang kami mahukan.

“Kami menjaringkan gol pertama dan terus bermain seperti yang kami mahukan. Kami menjaringkan gol kedua dan itu detik untuk kami ‘membunuh’ perlawanan tetapi sebelum waktu rehat kami beri mereka peluang,” kata Arteta.

Mohamed Salah berjaya menjaringkan gol sebelum waktu rehat dan biarpun pemain antarabangsa Mesir itu gagal menyempurnakan penalti di babak kedua, Arsenal tidak mampu mengubah rentak permainan.

Serangan bertali arus yang dilancarkan Liverpool selepas waktu rehat akhirnya membuahkan hasil apabila Roberto Firmino menanduk masuk gol penyamaan tiga minit sebelum tamat permainan.

Drama bagaimanapun tidak berakhir di situ apabila penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale terpaksa mempamerkan ketangkasan luar biasa untuk memastikan pasukannya meraih satu mata.

“Kami melepaskan bola terutamanya di kawasan yang sangat berbahaya. Apabila anda membenarkan ruang terbuka dalam momen peralihan besar terhadap pasukan terbaik di dunia yang melakukan itu,” tambah Arteta.

“Apabila itu berlaku, ia buatkan anda bergelut, terlalu banyak bola di dalam kotak penalti anda, sukar untuk keluar dari situasi berkenaan dan kemudian anda terpaksa menerima akibatnya,” kata Arteta.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker