Dasar Perhutanan Negara baharu tidak jelas, lemah, kata Teresa Kok

PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP Teresa Kok mempersoalkan beberapa kelemahan dalam Dasar Perhutanan Negara (MFP) 2021 yang dilancarkan baru-baru ini.

Kok berkata, tidak ada jangka waktu pelaksanaan bagi dasar berkenaan kecuali kiasan berkenaan penjajarannya dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2050.

“Apa yang kita dapat daripada latihan selama 5 tahun ini adalah dokumen samar yang gagal memberikan jalan untuk melangkah ke hadapan terhadap janji yang sering diulang pada setiap pertemuan antarabangsa,” kata beliau dalam kenyataan.

MFP 2021 dilancarkan sempena Hari Perhutanan Antarabangsa pada 21 Mac dengan pengenalan Dana Hutan Malaysia sebagai instrumen pendanaan terkini.

Kok menyifatkannya sebagai dasar yang signifikan kerana ia benar-benar bersifat kebangsaan, berbanding Dasar Perhutanan Kebangsaan 1972 (Pindaan 1992) yang hanya terpakai di Semenanjung Malaysia.

Namun kata Kok, kelemahan dasar ini tersembunyi dalam 11 muka surat dasar yang sudah dibahas dan dikembangkan sejak 2016.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) berjanji di peringkat antarabangsa bahawa ia akan mengekalkan 50% kawasan hutannya pada Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, namun pelaksanaan semakan dasar tersebut pada 1992 mengabaikan komitmen berkenaan.

“Nampaknya, komitmen ini masih belum dapat dimasukkan ke dalam semakan terbaru dasar perhutanan paling utama dalam negara selepas hampir 30 tahun,” kata beliau.

Beliau berkata, dasar lemah seperti ini hanya akan mengundang spekulasi dan menimbulkan keraguan mengenai dasar penggunaan tanah negara dalam konteks perlindungan alam sekitar, selain kelestarian produk kayu, kelapa sawit dan getah.

“Negara melaburkan wang, masa dan usaha untuk memperbaiki imej di peringkat antarabangsa, namun hasil daripada usaha itu akan terbatal jika kita gagal menyokongnya dengan dasar domestik yang jelas,” kata beliau.

Dasar Perhutanan Malaysia menyaksikan penyatuan julung kali semua negeri di Malaysia dalam bidang pengurusan perhutanan negara yang sudah menjangkau 120 tahun.

Ketika merasmikan dasar itu bulan lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, berkata, ia menggariskan hala tuju yang jelas bagi sektor perhutanan dalam mendepani cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa.

-FMT

Perhutanan Kelantan tahan penceroboh HSK Ulu Galas

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker