Makin kurus ‘makan hati’
KUALA LUMPUR: Perasaan cinta yang pernah subur di hatinya beransur pergi. Tiada lagi memori indah dan kuasa cinta yang memahat kenangan buat pelakon, Nadia Brian apabila rumah tangga yang dibina bersama ahli perniagaan, Muizz Nasruddin menyembah bumi.
Malah, pelakon drama Lelakimu Yang Dulu itu berasakan bebanan yang sekian lama terpikul di bahu gugur satu demi satu selepas bahtera rumah tangga berdepan dengan pertelingkahan agak panjang, sejak pertengahan tahun lalu.
Kekusutan hubungan bagaikan tidak mampu dileraikan apabila meledaknya beberapa isu berpanjangan, termasuk dakwaan kecurangan Nadia bersama lelaki lain.
Selepas hampir sembilan bulan tidak duduk sebumbung, akhirnya ikatan suami isteri terlerai pada 2 April lalu lalu. Muizz melafazkan talak luar mahkamah dengan disaksikan dua saksi di kawasan perumahan sekitar Puchong, Selangor.
Keputusan dibuat berikutan mahkamah syariah lambat menetapkan tarikh perceraian, selain tidak mahu membiarkan isu ini berlarutan tanpa ada keputusan terbaik.
“Saya bersyukur kerana ia berakhir dan dipermudahkan. Alhamdulillah, doa ibu dan ahli keluarga melembutkan hati bekas suami. Usaha mempercepatkan urusan lafaz cerai dilakukan di luar mahkamah. Lama menunggu saya, tertekan juga.
“Jiwa pun tidak tenteram kerana menunggu pengakhiran ini. Kesakitan ditanggung terhadap benda yang tidak dilepaskan cukup perit.
“Bagaimanapun, siapa berkahwin mahu mengakhiri dengan perpisahan. Bukan ini tujuan perkahwinan saya. Namun, saya akur dalam kehidupan bukan semua tersusun seperti dimahukan.
“Nasib baik kami belum dikurniakan anak. Soal status janda, bukan benda menyeronokkan. Apakan daya, jodoh tidak panjang,” katanya kepada BH Online.
Mengulas apakah dirinya reda apabila melalui perkahwinan tidak membahagiakan, malah mencalarkan nama, Nadia berkata, soal reda terlalu berat untuk diungkapkan.
“Nampak senang sahaja dituturkan, tetapi susah nak memahami hati kita sebagai manusia biasa. Ini soal kahwin, bukan soal main-main.
“Apa yang berlaku adalah satu keputusan besar. Pasti ada hikmah. Namun, apabila ibu saya reda dengan apa terjadi, saya juga harus menerimanya dengan lapang dada.
“Siapa sangka saya dihambat kontroversi peribadi selepas berkahwin. Bekas suami mengeluarkan kenyataan dan kemudiannya, ditokok tambah orang luar hingga pelbagai fitnah dilemparkan.
“Bagaimanapun, saya selalu melihat ibu sebagai contoh terbaik. Dia adalah ibu tunggal kepada cahaya mata. Namun, ibu akur dengan suratan hidup dan mampu membesarkan anaknya tanpa bantuan suami,” katanya.
Nadia berkata, dia belum terlintas ke arah mencari jodoh, buat masa ini.
“Saya nak cari rezeki dan bantu keluarga terlebih dahulu. Namun, saya tak mampu menolak pada masa akan datang. Jika diizinkan Allah, ada jodoh adalah… Biarlah, ia lebih baik.
“Saya pasti berkahwin sebab fitrah manusia hidup berpasangan. Saya tidaklah sampai tahap trauma dan membenci lelaki. Ada yang cuba mendekati dalam Instagram (IG), tetapi hati saya belum membuka ruang ini,” katanya.
Diajukan pertanyaan badan semakin langsing, Nadia berkata, ramai yang menegurnya kelihatan semakin kurus.
“Mungkin juga disebabkan makan hati hingga tiada selera. Tetapi, saya memang menjaga badan dengan bersenam.
“Jadi, semua faktor ini mendorong saya menjadi lebih bersemangat mahu jaga badan. Lagipun, saya seorang pelakon, jadi kenalah jaga penampilan.
“Sekarang, saya sibuk dengan penggambaran filem Rumah Maduku Berhantu arahan Datuk Prof A Razak Mohaideen bergandingan dengan Zizan Razak dan Rita Rudaini,” katanya.
Nadia dan Muizz mendirikan rumah tangga pada 9 November 2019 dan tidak dikurniakan anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd
NAFI CURANG – NADIA BRIAN SUDAH TAWAR HATI, MOHON SUAMI LAFAZ CERAI