MB Perak dikesan kontak rapat kes COVID-19, diarah kuarantin 14 Hari

IPOH, 28 April — Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad sedang menjalani kuarantin selama 14 hari selepas dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif COVID-19.

Setiausaha Politik Menteri Besar Datuk Sham Mat Sahat berkata beliau menerima maklumat bahawa Saarani diminta untuk menjalani kuarantin bermula hari ini sehingga 11 Mei, selepas menjadi kontak rapat dengan individu berkenaan ketika menghadiri satu program di Lenggong.

"Pukul 5.00 petang tadi beliau (Saarani) memberitahu tidak dapat hadir Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 2021 di Masjid Sultan Idris Shah II di sini petang ini. Beliau juga meminta saya mewakilkannya untuk menghadiri majlis berbuka puasa di Batu Kurau pada Jumaat ini disebabkan dia kena kuarantin.



Bagaimanapun saya tidak dapat lagi maklumat penuh dan tidak dapat memaklumkan lebih lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis yang turut dihadiri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Beliau berkata Saarani diminta menjalani kuarantin selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak pagi tadi, disusuli sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun turut menjadi kontak rapat kes berkenaan dan diarah menjalani kuarantin bagi tempoh sama.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button