Jangan Derhaka Titah AGONG – Zaidy Kadir

Zaidy  Kadir
Dato Mohd Zaidy Abdul Kadir
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan

 

JANGAN DERHAKA TITAH YANG DIPERTUAN AGONG, BUKA PARLIMEN SEGERA

1. Pertamanya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Menjunjung kasih juga kepada Paduka Raja-Raja Melayu di atas keprihatinan Baginda-Baginda Tuanku terhadap permasalahan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.

Menjunjung Kasih Tuanku

2. Kesanggupan Baginda-Baginda Tuanku mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di saat pandemik ini menunjukkan komitmen Istana untuk memastikan kestabilan rakyat dapat dipulihkan.



Benarlah kata pujangga klasik Melayu, Raja dan rakyat berpisah tiada.

3. Sejurus pertemuan Raja-Raja Melayu itu, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan yang antara lain merumuskan.

Bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah menzahirkan pandangan supaya Parlimen dibuka secepat mungkin supaya Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas bersama oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Raja Raja Melayu Sepakat

4. Menerusi titah Baginda itu, membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu sepakat akan kepentingan supaya sistem demokrasi negara diaktifkan semula.

Apabila Parlimen dibuka, ia sekali gus membuka peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk terlibat sama dalam menyelesaikan masalah pandemik yang sedang dialami negara ketika ini.



Barulah ada semak dan imbang.

5. Untuk itu, Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri perlulah menjunjung titah Raja-Raja Melayu itu dan mengadakan semula sidang Parlimen secepat mungkin.

Lagipun, ini bukan kali pertama Yang Dipertuan Agong menyarankan agar Parlimen dibuka.

Beberapa bulan sebelum ini juga, Tuanku telah bertitah bahawa sidang Parlimen boleh dibuka sepanjang tempoh perintah darurat dilaksanakan.

Jadi, segeralah buka Parlimen. Jangan derhaka dengan titah Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.



Kebimbangan

Jangan Derhaka Titah AGONG - Zaidy Kadir

 

6. Sebagai rakyat, kami bimbang dengan kenyataan-kenyataan balas pemimpin di dalam Kerajaan yang seolah-olah memperlekehkan titah Yang Dipertuan Agong.

Kononnya baginda tidak menyatakan tarikh dan masa yang spesifik. Kita bimbang, budaya memperlekeh titah Tuanku ini menjadi contoh tidak baik kepada rakyat.



Sedangkan, Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu hanya memainkan peranan baginda sebagai payung kepada rakyat.

Titah AGONG Jelas

7. Walhal, titah Yang Dipertuan Agong itu jelas. Bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan dengan segera.

Maksud segera menerusi rujukan Kamus Dewan adalah cepat, pantas, laju dan deras.

Bermakna, ia perlu diadakan serta merta tanpa sebarang alasan untuk melengah-lengahkannya lagi.

8. Bagi tujuan itu, kami mendesak supaya Kerajaan mengeluarkan notis memanggil persidangan Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada sekarang.



Kegagalan mengeluarkan notis pembukaan Parlimen dengan serta-merta ini hanya akan menunjukkan bahawa Kerajaan tidak menjunjung titah Raja-Raja Melayu.

Bermakna, Kerajaan telah dengan sendirinya derhaka terhadap Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan Akan Desak

9. Sekiranya, dalam tempoh 14 hari ini tidak ada notis pembukaan Parlimen dikeluarkan, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan mendesak kepimpinan tertinggi parti untuk menarik semula sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hari ini.

Ini kerana, UMNO sebagai sebuah parti Keramat, sentiasa taat dan menjunjung segala titah Raja-Raja Melayu.

10. Sepanjang kewujudannya, UMNO tidak pernah berkompromi dengan mana-mana individu mahupun institusi yang derhaka dengan Raja-Raja Melayu.



Maka, Kerajaan yang melanggar titah Duli-Duli Yang Maha Tuanku ini telah secara sendirinya menunjukkan bahawa mereka telah derhaka.

Dan ini bercanggah dengan prinsip parti.

UMNO Perlu Berprinsip Tegas

11.Atas sebab itulah, pemimpin UMNO perlu menarik semula sokongan kepada Kerajaan hari ini sekiranya titah Tuanku ini tidak dijunjung.

Perjuangan parti kita yang selama ini sentiasa berjuang mempertahankan Institusi Diraja di negara ini tidak boleh kita ketepikan.

Jika ada di kalangan pemimpin parti yang masih mahu menyokong Kerajaan hari ini, maka desaklah mereka untuk keluar daripada parti yang kita warisi dari keringat para perjuang kemerdekaan ini.

Kerana jelas mereka telah terpesong daripada prinsip perjuangan parti.

Titah AGONG Jangan Diperlekehkan

12. Prinsip kita sebagai rakyat Malaysia mudah, Titah Tuanku perlu dijunjung selagi ia adalah untuk kebaikan rakyat dan negara. Jangan perlekehkannya.

13. Ingatlah pesan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara di dalam karya agungnya bertajuk The Role of Constitutional Rulers yang bermaksud.

“Jangan fikir kuasa raja hanyalah apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Kerana kuasa raja adalah lebih luas daripada itu”.

14. Maka renungilah bersama. Junjunglah Titah Tuanku itu. Kerana Raja dan rakyat berpisah tiada!

19 JUN 2021

DATO’ MOHD ZAIDY ABDUL KADIR
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan.

Sidang Parlimen Perlu Diadakan, Titah DYMM AGONG

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button