Jota, Nunez lonjak Liverpool lima mata di depan

Oleh – Syeikh Baran


Jota, Nunez lonjak Liverpool lima mata di depan
Penyerang Liverpool, Diogo Jota (kiri) meledak masuk gol kedua ketika menentang Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, Bournemouth awal pagi tadi. – Foto REUTERS

England: Liverpool melupakan ketiadaan Mohamed Salah untuk melonjak lima mata di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Diogo Jota dan Darwin Nunez masing-masing menyumbang dua gol membantu kemenangan besar 4-0 di Bournemouth awal pagi tadi.

Harapan The Reds untuk memburu kejuaraan diuji ketika bintang serangan mereka bersama Mesir pada kempen Piala Negara-Negara Afrika.

Namun Jota dan Nunez tampil sebagai penyelamat bagi meraih kemenangan genting di laman satu daripada kelab EPL paling cemerlang ketika ini.



Bournemouth hanya kalah sekali dalam sembilan perlawanan terakhir mereka untuk keluar selesa daripada zon penyingkiran.

Bagaimanapun, The Cherries berjaya memberikan cabaran pada babak pertama sebelum anak buah Jurgen Klopp tampil lebih bergaya selepas rehat.

“Jelas sekali kami perlu mengubah sesuatu. Kami melakukannya dan ia benar-benar menjadi,” kata Klopp mengenai perubahan dilakukan pasukannya antara babak pertama dan kedua.

“Segala-galanya lebih bagus, kami benar-benar menekan mereka dan kami menjaringkan beberapa gol yang cantik. Impak daripada bangku simpanan sekali lagi jadi ia satu petang yang amat menceriakan.”



Pelawat dihalang daripada melakukan banyak percubaan pada separuh masa pertama.

Namun perlawanan itu berubah selepas satu detik berkualiti daripada Liverpool untuk memecah kebuntuan pada minit ke-49.

Hantaran pantas Jota menyaksikan Nunez berada dalam situasi terbaik dan pemain Uruguay itu mempamerkan ketenangan yang jarang dilakukan dalam kariernya di Liverpool setakat ini untuk merembat masuk ke penjuru gol.

Pemain gantian Cody Gakpo kemudian mengumpan kepada Jota untuk meledak masuk dekat dengan gol 20 minit sebelum tamat untuk menamatkan cabaran lawan.

Jota lebih bernasib baik dengan gol keduanya ketika pemain Portugal itu mensia-siakan percubaan awalnya susulan hantaran lintang Conor Bradley namun bola itu singgah semula di kakinya sebelum merembat leret dan kencang melepasi Neto.

“Kami mempunyai pemain bertaraf dunia dan apabila kami memilikinya ia mudah,” kata Jota. “Tetapi kami adalah Liverpool jadi apabila kami tidak mempunyainya, kami tetap ada pasukan yang bagus.

“Kami boleh menggantikan mereka dan berkongsi perlawanan antara kami untuk meneruskan cabaran.

Nunez hanya menyumbat satu gol dalam 16 penampilan terakhirnya bersama Liverpool sejak menjaringkan gol kemenangan menentang Bournemouth pada aksi Piala Liga awal November lalu. – AFP

Sumber – Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker