Kisah Seram Abang Google Bersiri

 

ABANG GOOGLE (OVERTIME)


Tak sampai 30 minit aku dah sampai seksyen 25 Shah Alam. Kelajuan gaban pun kalah ni. Lupa perutku berkeriut, lupa mata dah rabak.

Yang ada dalam kepala, GADIS BERTUDUNG KUNING DIRAJA! Siut!! Mana aku pergi ada je dia.
Dalam lif, nak ke tandas pun dia muncul, lepas tu hilang entah ke mana hala…tahu-tahu kek terletak elok je atas meja, tiber!

Tak tahan dengan psiko dia, masa balik. Depan lif bersusun dengan staf lain, turun tangga nampak dia duduk menangis ke pura-pura tidur, entahlah.

Baru melepasi dia, ada pula DIA bergurau di bawah tangga tingkat 22. Dengan tudung yang sama, kebaya yang sama. Berlari aku cari lif.

Buat Hal

Rasa lega sangat dah masa tu. Baru keluar dari tempat parking, dan dan kat situ juga dia tercongok tunggu bas. Punyalah manja siap panggil aku BANG! Sejak bila mak aku beranakkan dia?

Masa tu hero tak herolah, kalau muka dia je menempel sana sini, Rambo pun lari! Kembang jugak la tengkuk aku sepanjang perjalanan balik tu.

Sampai ke rumah, aku rasa badan ni lain macam hangatnya. Sepatutnya Sabtu aku melingkar je dalam selimut. Tak pun aku layan Kdrama popcorn.Menyesal aku sign OT minggu lepas.

Nak lari pun tak boleh lagi. Malam ni ada sehari lagi OT wajib. Ishh, macam mana nak cancel OT ni? Mengamuk pula MR. Tee.

Rumah bujang ni sunyi sejak Joe balik kampung jaga ayahnya sakit. Kalau dia ada hari cuti macam ni, akulah jadi mak susuan dia.

Kena fikir nak masak apa bagi anak pungut aku tu cekik sampai diam.

Garu Kepala Idea Tak Sampai Juga

Penat dah menggaru kepala. Idea tak datang jugak, tak taulah nak bagi alasan apa. Lantaklah!
Malas fikir. Tak sempat nak mandi dengan buat sarapan, aku pun terlelap atas sofa.

“Ketika tiba-tiba ombak di laut pasang
Cinta kita berdua juga pasang, sayang
Ketika tiba-tiba ombak di laut surut
Cinta kita berdua tetap pasang….”

Siapa pulak call? Bergegar handphone dalam poket depan.

“Hello, Paiz. Jangan lupa malam ni you kena siapkan kerja Siti. Semalam you sudah cuti satu hari i bagi. Jangan tak mari, pokpek pokpek pokpek!!!”

“Ya, baik. Ok, no prob..bye,”

Begitulah managerku yang masih pelat bercakap bahasa Melayu. Antara dengar tak dengar aku terpaksa iyakan.

Malam nanti kita….OVERTIME!!!

Dari basement aku memasuki lif seorang diri. Sebelum tu aku singgah solat di Masjid Negara sebelum masuk kerja.

Cari ketenangan jiwa dan keredhaan Allah dulu, baru fikir mengutip rezeki.
Masuk saje ke perut lif, hampir menjerit juga bila terpacak depan mata…SI GADIS MANIS!

Malam ini dia pakai tudung merah berkebaya putih. Alamak!! Gadis zaman bila ni? Semalam berkebaya, harini pun berkebaya. Dia tak pandai beli baju di shopee?

Ada baju peplum, cardigan, baju kurung moden, macam-macam aku tengok kak Siti belek. Tak padan dengan perut memboyot ada hati tengok fesyen mermaid. Siap tunjuk kat aku yang mana lawa.

Bau harum mula menusuk ke hidung. Tak pernah aku bau bauan seharum ni. Dia melirik ke belakang. Tersenyum malu.

Lif Berhenti Pula

Sampai di tingkat 5 lif terhenti. Si Gadis menjenguk keluar, aku tengok abang guard masuk sambil bersiul. Dia menunjukkan isyarat supaya aku diam.

Aku angguk tanda faham. sebenarnya aku tak faham pun kenapa dia suruh aku diam. Yang aku nampak, dia bersandar menghadap ke arah Si Gadis di depanku.

Entah kenapa, datang pula perasaan nak tahu apa nama Si Gadis. Mentang-mentanglah abang sado ada dalam lift. Aku pun bertanya.

“Nama apa, dik?”
Aku tengok bayang di pintu lif dia tersenyum sambil menutup mulut. Pemalu rupanya
“Kesuma. Kesuma Dewi, hihihi..”

Allah…Ketar dah lutut ni. Auto gugup, auto gigil, auto telan air liur semua datang dengan pakej naik bulu roma tengkuk.

Abang guard perlahan-lahan mendekati aku. Berbisik di telinga,
“Kenapa Encik Paiz tanya? Kan dah haru,”

Aku pandang muka abang guard. Ya. Menyesal aku tanya. Dia punya gelak softly but truely tu buat aku rasa nak keluar dari lif.

Abang Paiz…

“Abang Paiz…”
“I..iiyerrr abbanggg Paiz,” jawabku.
“Mamak mana hari ini? Hihihi..”

Alamakkk!!! Dia tahu pulak port aku lepak selalu. Belum sempat aku menjawab. Lift berhenti di tingkat 23. Bila pintu terbuka, dia keluar dengan kedua tangannya menekup muka.

Ditinggalkan haruman yang sukar aku lupakan.

“Nasib baik dia tak tinggalkan bau mayat, hohoho..”
Kacau betullah abang guard ni! Sesedap oren je dia gelakkan aku.

2.30 pagi.

Perutku berbunyi minta diisi. Sebelum masuk kerja aku dah makan kue tiaw ladna xtra sotong. Masa macam ni boleh pula rasa lapar tu datang?

Kak Leela baru je keluar dari pantry. Tersenyum-senyum macam orang baru balik honeymoon.
Aku ke pantry mencari apa yang boleh dimakan. Tiga jam lagi siaplah kerja yang kak Siti Buyung tinggalkan.

Makan dululah. Aku mencari mee segera dalam kabinet. Perisa sup ayam? Aku tak suka perisa tu kecuali ada bahan lengkap macam ayam, udang, sosej, cili, brokoli, cendawan butang…banyaklah cengkadak aku!!

“Fuhhhhh…fuhhhhh…”
Aik, angin dari mana masuk ni? Naik dah bulu lengan kanan dan kiri, adehh.
“Encik Paiz lapar?”

Abang guard menjengah di pintu pantry. Aku angguk. Sekali lagi aku berasa lega abang guard muncul waktu aku kecut perut.

“Saya baru balik dari Nini Tom Yam, kenapa tak kirim tadi?”
“Tadi kenyang lagi, bang.” aku senyum-senyum sambil menunduk membancuh secawan milo.
“Abang nak…”

Opss, mana abang guard? Baru nak tanya dia nak milo atau kopi 2 in 1. Lesap dah?
Jerry pula muncul dengan wajah tercengang. Macam tak pernah tengok aku bancuh air pula si sepet muka ala-ala Lee Dong Wook.

“Lu pe hal la, pet?”
“Ha..haus,”
“Gagap pulak kerja shif malam?” Aku gelak sambil keluar dari pantry.

Waktu macam ni mulalah seorang demi seorang nak membancuh air, makan biskut, rendam mee segera. Kalau tidak…melekat mata.
Untunglah abang guard datang temankan aku di pantry. Entah kenapa tadi ada satu perasaan ganjil. Macam ada orang meniup cuping telinga aku. Seram oiiii!
Sampai di meja.

Glurppp!!! Aku menelan air liur buat pertama kalinya pada malam ini.
Kek…kek dari mana datang ni? Seketul kek merah pekat tanpa krim di dalam piring seperti semalam.
Nota?

Terselit sekeping nota di tepi piring. Berpeluh dah masa ni. Macam terima bom jangka masa pulak perasaan tu.

Kesuma Dewi

“Dariku : Kesuma Dewi ❤”
Aku lepaskan nota kecil. Sekali dengan love merah kau bagi kat aku!
Tit tit..
Pesanan whatsapp masuk. Nama Haiqal tertera.

“Lupa nak pesan. Selain dari jam 12 malam, jam 1,2,3,4 pagi pun jangan keluar dari ofis.”
“Diamlah, mangkuk!”
“Aku pesan je. Jam 5 ok.”
Aku matikan handphone. Entah kenapa datang pula rasa bengang dengan Haiqal ni. Masa macam ni dia nak mengacau aku.


Milo yang hampir suam tu aku teguk tak tinggal sedikit pun. Masih terasa bengang dengan Haiqal ni.
Apa aku nak makan? Perut lapar ni. Aku merungut. Bila datang rasa lapar tapi kau tak layan.

Apa perasaan masa tu? Macam lemau je kan?
Aku duduk di atas kerusi sambil pandang kek merah depan mata ni. Nampak macam sedap kalau dah berkeriut bunyi dalam perut.

Aku cubit dan masukkan secebis ke dalam mulut.
Eh, sedap!! Baunya pun boleh tahan. Macam kek marble selalu kak Siti buat brunch, selalu aku dapat sekeping.

Kadang-kadang aku yang habiskan.
Tapi tak pernah pulak kak Siti bawak yang merah menyala macam ni. Warna paddle pop, coklat dengan krim, perisa keladi, oren, semua aku dah rasa.

Dalam throwback kek marble kak Siti Buyung bersilih ganti, habis juga kek merah dari KESUMA DEWI.
Tak sampai lima minit, perut aku memulas. Parah kali ni. Aku dah bayangkan Kesuma Dewi menunggu aku depan lif.

Ahh! Abaikanlah Kesuma Dewi ke, hantu zaman Saloma ke! Aku kena buang hajat dulu. Selagi tak buang, sekejap sekejap keluar angin dari belakang.

Aku percepatkan langkah dengan bacaan ayat Kursi di mulut. Tidak menoleh ke kiri atau kanan, aku berlari pula.

Depan Lif Pun Jadi

“Bang,”
Memang betullah dia tunggu depan lif. Aku menepuk dahi. Tapi aku tak pandang pun muka dia.
“Abang nak terberak ni. Maaf,”

Aku melepasi Kesuma Dewi tanpa hirau apa lagi. Ya, aku nak ke tandas. Perut aku memulas kuat.
Kek campur darah ayam ke yang kau bagi ni? Gumamku dalam hati.
“Kesuma nak ambil…”
“Ambillah tahun depan!”
“Bang!”

Aku berhenti. Beranikan diri memusingkan badan ke belakang. Matanya mula berkaca.
“Kalau aku BANG tiga kali, memang senget muka kau!”
Pintu lif terbuka. Tak ada seorang pun yang keluar. Kesuma Dewi memalingkan mukanya dan terus masuk ke dalam lif.

Banyak kau punya nak ambil! Nyawa aku ni bukan nyawa katak! Tau pun kau takut. Aku johan AZAN masa di asrama dulu. Memang kau tak kenal item lah, hantu!

Masuk memerut dalam tandas sambil termenung. Cantik juga muka hantu bila broken. Lembut je airmuka dia. Jarang dengar kisah seram muka hantu secantik Kesuma Dewi.

Krekkkk..krukkkkk….krekkkk!!!

Apa pula kali ni? Bunyi kubikel sebelah dicakar dengan ganas. Anjing mana terlepas masuk ni???
Kemudian aku terdengar bunyi benda keras diketuk-ketuk di luar kubikel. Bunyi apa pula tu?
“Paa…izzzz,”

Suara perlahan dan serak datang dari kubikel sebelah. Tak pasti suara lelaki atau perempuan.
Aku blur. Suara tu terlalu perlahan. Seperti bunyi angin.

Siap cuci bersih-bersih, pantas memakai seluarku semula, aku keluar dengan muka pucat. Kali ni tak sempat nak belek jambul lagi. Aku nak keluar cepat dari sini.

Bila terbukanya pintu kubikel, terpacak abang guard di depan mata. Rupa-rupanya dia yang mengetuk cota di dinding.

Kenapa Encik Paiz?

“Nasib baiklah abang datang.”
“Kenapa, Encik Paiz?”
“Abang tak dengar bunyi cakar dengan suara orang panggil nama saya?”
Kemudian dia tersenyum. Lain macam senyumnya kali ni.
“Suara macam mana?”
“Suara…” aku risau yang mencakar dalam kubikel tu dengar pulak.
“Macam ni ke?”

Aku merenung mukanya dengan tekun. Perasaan takut berkurangan bila ada abang guard depan aku.
“Macam mana, bang?”
“Paa….izzzz..”

Aik!! Sebijik suara abang guard dengan suara yang aku dengar sebelah kubikel tadi.
Tiba-tiba pintu bilik termenung sebelahku terbuka. Aku renung dengan ekor mata je. Seram sejuk satu badan.

Abang Guard Pun Hantu Rupanya

Abang guard depan aku pula tak henti-henti seru nama aku dengan nada yang membuat seluruh badanku menggeletar.

Baru aku tahu yang abang guard tu juga hantu! Oh, Tuhan. Selamatkanlah hambaMU yang lemah ini.
Tak tunggu lagi dah, aku berlari keluar dari tandas. Pecut selagi terdaya. Lepas dari lif aku tercium bau wangi.

Alamak!!!! Dia lagi!!!!!
“Bang!”
“Kepala kau berluBANG!!”

Kali ni aku tak toleh lagi, rupanyanya Kesuma Dewi berdiri dibalik pasu yang tinggi paras dada.
Oklah, sambung episod 3 pulak. Jumpa lagi. Larikkkk!!!!!
#karyapanda

KARYA PANDA
🥰 TQ

Leave a Reply