Cerita Seram Santai – Nara Kurnia (part 1)



Prolog Nara Kurnia


“Kau jaga dan peliharalah anak ini baik-baik Zain. In shaa Allah, suatu hari nanti aku akan datang kembali,” begitu pesan Atan kepada Zain, sahabat baiknya. “Kau mahu ke mana? Ini anak siapa?” tanya Zain kebingungan.

Namun tangannya tetap menyambut bayi berbalut kain kuning yang dihulurkan Atan.
“Ini cucu aku. Surat beranaknya ada di situ. Aku perlu pergi jauh dari sini buat sementara waktu,” kata Atan sambil jarinya menuding ke arah sebuah bakul berisi pakaian, botol susu dan beberapa dokumen.
“Tapi…..”

“Hanya engkau sahabat yang aku percaya. Aku tahu kau akan menjaganya dengan baik,” potong Atan sambil terus memeluk Zain.

Zain kehilangan kata-kata. Atan melepaskan pelukan dan terus masuk ke dalam kereta. Menghidupkan enjin dan berlalu pergi. Meninggalkan Zain yang masih terpacak berdiri. Termangu-mangu dan kebingungan dengan segala yang berlaku di dalam sekelip mata.

Bayi Comel Milik Siapa?

Zain memandang wajah bayi comel di dalam pelukannya. Bayi bermata bulat itu merenung wajahnya bagaikan mengerti keseliratan di dalam fikiran Zain.

Zain menganggar cucu Atan mungkin di dalam lingkungan umur beberapa minggu. Zain cuba mengingat cucu dari anak Atan yang mana satu yang sedang dipegangnya kini?

Seingat-ingat Zain, Atan cuma mempunyai tiga orang anak. Dua orang sudah berkahwin. Tinggal yang bongsu masih belum berumahtangga. Umurnya pun baru masuk 19 tahun.

Dalam berteka-teki, kaki Zain terus melangkah ke dalam rumah. Salam yang diberi disambut oleh isterinya, Zilah.

“Waalaikumussalam. Kenapa si Atan tu da…eh, anak siapa ni bang?” Zilah bertanya apabila melihat Zain seperti mengendong bayi dengan tangan kanan dan tangan kirinya menjijit sebuah bakul.
Zain menceritakan apa yang berlaku kepada Zilah.

Tinggalkan Bayi Tergesa-Gesa

Bagaimana Atan yang tergesa-gesa datang setelah menelefonnya. Bagaimana Atan menyerahkan bayi yang dikata cucunya untuk dijaga. Juga pemergian Atan yang tergesa-gesa.

“Saya percaya Atan ada sebab yang tersendiri bang. Dia kawan baik abang. Takkanlah dia nak menganiaya abang. Tak apa lah bang, kita pun tak ada anak. Mungkin ini rezeki kita,” kata Zilah seraya menyuap botol susu ke mulut si comel yang kelihatan sedang kehausan.

Zain hanya diam. Namun kepalanya mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat isterinya. Mungkin benar, ini rezeki mereka berdua. Zain bertekad dan berjanji akan menjaga bayi itu dengan baik.
Zain mencapai dokumen yang diletakkan di dalam bakul lalu menelitinya. Membaca nama bayi yang diserahkan oleh Atan.

Nara Kurnia Abdullah

“Nara Kurnia bin Abdullah?”
“Siapa bang?” tanya Zilah.
“Nama budah ni..Nara Kurnia,” jelas Zain sambil memandang wajah isterinya.
“Amboiii..klasik betul namanya. Macam nama zaman bangsawan,” kata Zilah tersenyum.

Zain diam dan meneruskan bacaan. Di ruang maklumat bapa tiada sebarang maklumat. Tetapi di ruang maklumat ibu tertera nama Nur Haleeda Binti Atan. Anak bongsu si Atan.
“Adakah anak ini sebenarnya anak luar….” kata-kata Zain termati di situ.

Anak Tidak Berdosa

“Usah difikirkan sangat bang. Apa pun yang berlaku, anak ini tidak berdosa. Kita pun tak tahu apa cerita sebenar. Cubalah abang telefon si Atan tu untuk mengetahui hal lebih lanjut,” cadang Zilah.

Zain mengangguk dan bangun menuju ke meja telefon. Mendail nombor rumah Atan. Namun tidak berjawab. Mungkin benar kata Atan, dia sudah ‘pergi jauh’ dari sini.

Malam itu Zain bermimpi. MImpi yang agak pelik. Dia mimpi berada di sebuah istana Melayu lama. Istana yang indah dengan hiasan mewah.

Istana Purba

Zain diiringi oleh beberapa orang hulubalang yang bertanjak dan memegang tombak menuju ke balairong seri. Dia dibawa mengadap seorang raja yang bersemayam di atas takhta.

“Silakan duduk tuan hamba,” kata Sang Raja yang segak dengan busana kuning bergemerlapan.
Zain duduk bersila di hadapan raja. Lidahnya terasa membeku. Tidak boleh menuturkan apa-apa. Namun telinganya boleh mendengar dengan jelas setiap tutur kata.

“Terima kasih beta ucapkan, kerana sudi menjaga cucunda beta. Beta cuma ingin berpesan, jagalah cucunda beta dengan baik. Suatu hari nanti, dia akan membawa tuah buatmu,” kata raja itu sambil tersenyum.

Realiti Fantasi

“Amboi Nara, menonong aje berjalan. Kot ya pun perlahan la sikit,” bebel Amir.
Nara mematikan langkah seraya menoleh ke arah Amir.

“Alaahh..terhegeh-hegehlah kau ni Mir. Cepatlah sikit. Sekejap lagi kelas dah nak mula. Kalau lambat nanti alamatnya bernanahlah telinga kena bebel dengan Puan Zaiton tu,” kata Nara.

“Ye aku tau laaaa. Tapi ayam KFC aku ni masih berenang-renang dalam perut. Belum sempat hadam. Semput aku dibuatnya,” kata Amir sambil cepat-cepat berjalan seiring dengan Nara.

“Itulah kau, makan banyak sangat. Mentang-mentanglah makan ‘free’,” Nara menggiat.
Amir hanya tersengih. Dia tahu dia makan terlalu banyak tadi. Makanan percuma yang dibelanja oleh Nara memang sangat sedap rasanya.

Sifat Terpuji Nara Kurnia

Lagi pun Nara memang selalu bermurah hati begitu. Setahu Amir, kehidupan Nara agak mewah kerana dia anak tunggal. Namun Nara tidak pernah berkira dengannya.

Buat Nara pula, pemuda yang berasal dari Kampung Sawah, Pekan Nenas , Pontian itu memang sahabat yang baik. Mereka sudah lama berkawan. Sejak dari sekolah menengah sehingglah sudah bergelar mahasiswa.

Seingat Nara, Amirlah orang pertama yang menegurnya ketika ibu bapanya baru berpindah ke Pontian dahulu. Amir yang berbadan agak gempal namun sopan dan peramah, memang sangat menyenangkan hati.

Pernah suatu ketika, Amir dipukul oleh beberapa orang budak-budak nakal di taman rekreasi. Naralah yang menyelamatkan Amir.
Nara cuma menjerkah dengan kuat.
“Hoiiiiiii!”

Budak-budak nakal itu menoleh dan terus mencicit melarikan diri seperti melihat hantu. Nara berasa agak pelik juga. Namun kakinya terus melangkah laju mendapatkan Amir yang terbaring dengan mulut yang berdarah.

“Kau OK tak Mir?” tanya Nara.
“Aku OK. Terima kasih Nara. Kau buat apa dengan dia orang sampai dia orang bertempiaran?” tanya Amir. “Aku tak buat apa-apa. Aku cuma sergah sikit. Sebenarnya aku pun takut tengok badan dia orang lebih besar dari aku,” jelas Nara.

Sejak hari itu, Nara seperti pelindung dan penjaga buat Amir. Tidak ada sesiapa yang berani membuli dan menyakiti Amir lagi. Mereka kerap belajar bersama sehinggalah sama-sama melanjutkan pelajaran di UTHM Batu Pahat.

Nara dan Amir tinggal di sebuah rumah sewa berhampiran kampus pengajian. Ada dua orang lagi rakan sekampus yang tinggal menyewa dengan mereka. Petang itu selepas kuliah, Nara mengajak Amir ke pekan Parit Raja. Saja ronda-ronda sambil mencuci mata.

Ketika singgah minum di medan selera, mata Nara terpaku melihat seorang gadis di meja berhampiran.
GadIs manis bertudung litup berwarna merah jambu itu sedang duduk menghirup air batu campur. Wajahnya agak pucat dan nampak keletihan.

Di hadapan gadis itu duduk sepasang suami isteri pertengahan umur. Mungkin ibu dan ayah kepada gadis itu. Mereka sedang enak menikmati mi bandung.

Namun bukan itu yang menarik perhatian Nara. Nara melihat sesuatu yang aneh. Kelihatan seorang wanita berpakaian serba putih dengan rambut panjang menutupi muka sedang terbaring memeluk dan berpaut pada kaki gadis itu.

Sesekali gadis bertudung merah jambu itu menyeringai seperti menahan sakit sambil menggosok-gosok kakinya.

Nara hanya memandang kaki gadis itu. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang dilihat. Tetapi dia tahu ada sesuatu yang tidak beres. Nara melihat Amir yang sedang leka menghabiskan semangkuk besar sup gear box. Nara memandang semula ke arah kaki gadis itu.


Alangkah terperanjatnya Nara apabila melihat makhluk itu juga sedang memandang ke arahnya dengan mata merah terbeliak.

Nara mula berpeluh. Bulu romanya tegak berdiri.
Bersambung….

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker