Cerita Seram Santai – Nara Kurnia (part 3)

Nara melompat ke atas katil. Badannya menggigil. Nara benar-benar terkejut apabila disergah oleh suara yang menyeramkan itu.

“Jangan ganggu urusan akuuu!”
“Jangan ganggu urusan akuuu!”

Terngiang-ngiang suara itu di pendengaran Nara. Nara tertanya-tanya, adakah amaran itu ditujukan kepadanya? Mungkinkah makhluk yang dilihat berpaut pada gadis itu mengetahui niatnya untuk mengubati?



Nara memandang Amir yang sudah lena dengan dengkuran. Mata Nara masih terkebil-kebil. Dia takut hendak menutup lampu. Bimbang diganggu dengan suara menakutkan itu lagi.

Nara membaca Ayatul Qursi dan surah Tiga Qul. Kemudian Nara menutup matanya dengan kusyen kecil. Lidahnya terkumat-kamit berzikir. Nara tidak tahu pukul berapa matanya terlelap.

Dibawa Ke Alam Lain

Nara terhidu bau-bauan nan mewangi. Bau seperti semerbak bunga yang sangat mengasyikkan. Nara memandang sekeliling. Pemandangan yang indah saujana mata memandang. Keadaannya seperti berkabus. Dingin dan menyegarkan.

Pohon-pohon menghijau diselangi dengan aneka bunga pelbagai warna. Pemandangan sebegini seingat-ingat Nara pernah dilihatnya ketika ibu bapanya membawanya ke Cameron Highland ketika masih sekolah rendah.



“Marilah Sang Nara Kurnia. Tuanku sedang menunggu,” tegur satu suara.
Nara menoleh. Seorang gadis cantik berpakaian songket serba biru dengan rambut bersanggul dihiasi bunga sedang menantinya di hadapan.

Sejak bila gadis itu ada di hadapannya, Nara sendiri tidak perasan. Nara terlalu asyik menikmati pemandangan indah di sekelilingnya.

“Marilah!” ajak gadis itu sekali lagi dengan senyuman manis menguntum. Nara tidak menjawab. Namun kakinya mengekori langkah gadis berbaju songket itu. Entah mengapa tiada langsung perasaan takut atau bimbang di hati.

Sebaliknya Nara berasa sangat tenang seolah-olah berada di rumah sendiri.
Tidak lama kemudian tersergam sebuah istana indah di hadapan Nara. Nara mendongak dan memandang dengan takjub.



Istana Zaman Nusantara

Belum pernah seumur hidupnya melihat istana sebesar dan seindah itu. Benar-benar mirip replika istana lama yang dilihatnya ketika melawat Muzium Budaya Melayu.

Mulut Nara terlopong. Kagum benar Nara melihat ukiran awan larat yang menghiasi istana. Sungguh halus dan indah.

Nara melihat ramai yang berpakaian seperti hulubalang, dayang dan pembesar-pembesar istana. Semuanya memandangnya dengan senyuman mesra.

Gadis bersongket biru masih berjalan di hadapan Nara. Nara setia mengekori dari belakang. Ketika itu juga baru Nara perasan, pakaiannya juga seperti orang-orang disekelilingnya.



Nara memakai baju kuning berlis emas, lengkap bersamping dan bertengkolok berwarna jingga. Di bengkung tersisip sebilah keris bak perwira dahulu kala.

“Kita sudah sampai. Dipersilakan masuk mengadap Tuanku,” kata gadis bersongket biru.
Nara mengangguk. Bagaikan sudah mahir tentang tatacara di istana, Nara mengangkat sembah tanpa kekok dan duduk bersimpuh di hadapan Sang Raja yang tersenyum di atas takhta.

Cucu Raja

“Wahai cucunda beta, Sang Nara Kurnia. Kini masamu telah tiba. Dirimu sudah cukup dewasa untuk menerima segala ilmu dan kuasa,” kata Sang Raja.

Nara ingin berkata sesuatu, namun lidahnya seolah-olah membeku. Nara tertanya-tanya ilmu dan kuasa apa yang dimaksudkan? Yang paling penting, siapa mereka semua? Apa kaitan mereka dengan dirinya?



“Usah bimbang Nara. Kuasa dan ilmu yang kau terima, tidak lain tidak bukan, hanyalah untuk berbuat kebajikan semata-mata. Usiamu sudah menginjak 21 tahun.

Sudah cukup dewasa untuk menanggung tanggungjawab galur keturunanmu,” kata Sang Raja lagi yang seolah-olah mendengar dan menjawab segala persoalan yang menganggu fikiran Nara.

“Bertenanglah wahai cucundaku. Berzikirlah di dalam hatimu dengan Zikrullah. Sentiasa beriktikad bahawa Tiada Kuasa Yang Maha Besar selain Kuasa Ya Rabbul Aalamin.”

Sebaik sahaja Sang Raja usai berkata-kata, tiga orang pembesar datang menghampiri Nara. Ketiga-tiganya menyentuh badan Nara.



“Pejamkan matamu nak. Tahankan sedikit kesakitannya. Basahkan lidahmu dengan zikir,” kata salah seorang daripadanya yang kelihatan paling tua dengan janggut dan rambut yang memutih.

Nara memejamkan mata dan mula beristighfar. Nara berzikir tanpa henti. Tiba-tiba badannya terasa ringan dan melayang. Kepala Nara mula terasa pening dan berpusing.

Seluruh tubuhnya terasa membahang dan mulai mengejang. Segala uratnya terasa ditarik-tarik. Nara mengerut manahan kesakitan. Namun seperti yang dipesan, zikirnya tidak berhenti.

Beberapa minit kemudian, tubuh Nara mulai terasa dingin. Kali ini dinginnya hingga mencucuk ke tulang hitam. Seluruh badan Nara menggeletar.

Terasa kulitnya seperti mahu pecah. Nara terasa mahu menjerit, namun tidak ada suara yang keluar. Nara tidak mampu bertahan lagi. Selepas itu Nara tidak sedar apa-apa lagi.

“Naraaaaa…Naraaaa…bangun woiii. Dah azan Subuh tu,” sayup-sayup terdengar suara Amir memanggil.
Nara cuba membuka mata. Namun tidak berdaya. Badannya tersa amat sakit. Badannya terasa membahang.

“Naraaaa! Bangun..bangun. Kau kenapa?” terdengar lagi suara Amir memanggil.
Amir menghampiri Nara yang diam membisu dan terbaring kaku. Amir meletakkan belakang tangannya ke dahi Nara.

“Allahhhh. Kau demam ke Nara? ‘Dedor’ dahi kau ni,” kata Amir dengan nada bimbang.
Nara cuba membuka mata. Wajah Amir cuma nampak berbayang. Pandangannya mulai kelam dan akhirnya semua tenggelam di dalam kegelapan

“Naraaaa…kau OK tak?” sayup-sayup terdengar suara Amir menerjah telinga.
Nara cuba untuk membuka mata. Kali ini dia berjaya. Namun pemandangan sekelilingnya agak asing.

Bukan pemandangan di dalam rumahnya.
“A..aku..kat mana?” Nara bertanya sambil matanya melingas ke kiri dan ke kanan.
“Alhamdulillah, kau dah sedar. Kau ada dekat hospital. Kau pengsan subuh tadi. Doktor kata badan kau panas sangat,” terang Amir.
“Hah? Hospital?” Nara terkejut.

“Ya. Aku dah hubungi emak dan ayah kau. Sekejap lagi sampailah agaknya,” balas Amir.
Benar bagai dikata. Selang lima belas minit kemudian, kelibat Zain dan Zilah tergesa-gesa menuju ke wad Nara ditempatkan.

Zilah menangis dan memeluk Nara sebaik sahaja melihat anak kesayangannya itu terlantar di atas katil.
“Macam mana boleh jadi macam ni Nara? Kau tak makan ke nak? Mak bimbangkan kau,” kata Zilah di dalam sedu sedan.

“Ish, awak ni. Kan Amir dah kata Nara cuma demam aje. Dah..dah. Biarkan Nara berehat,” tegur Zain apabila melihat isterinya begitu bimbang.

Amir tersenyum melihat gelagat ibu dan bapa Nara. Amir berundur sedikit untuk memberi ruang kepada tiga beranak itu.
“Terima kasih ya Mir kerana tolong jaga dan tengok-tengokkan Nara,” kata Zain sambil menepuk bahu sahabat baik anaknya itu.

“Tak apa pakcik. Perkara kecil aje,” jawab Amir sambil tersenyum.
“Alhamdulillah. Nasib baik ada Amir. Kalau tak entah apa akan terjadi pada Nara. Makcik ada singgah ke rumah keluarga Amir tadi.

Mereka berkirim salam. Ini ada juadah kiriman mak Amir,” kata Zilah sambil menghulurkan bungkusan.

“Waalaikumussalam. Terima kasih makcik,” jawab Amir dengan senyuman melebar.
Malam itu Nara terpaksa bermalam di hospital. Menurut doktor, jika keadaan Nara sudah pulih, Nara diizinkan pulang keesokan harinya.

Para pelawat semua sudah balik. Keadaan hospital sudah mulai senyap dan sunyi. Hanya sesekali terdengar suara jururawat dan doktor yang bertugas.

Jam di dinding sudah menunjukkan jam 10.00 malam. Nara memandang sekeliling. Bilik wad yang menempatkan empat katil terasa begitu sepi. Dua katil masih kosong. Manakala penghuni katil di hadapannya sudah lena dibuai mimpi.

Nara membetulkan sedikit pembaringannya. Katil di bahagian kepala yang boleh diubah suai dinaikkan sedikit. Nara dalam kedudukan hampir duduk. Matanya masih segar bugar.

Nara teringatkan kembali mimpinya yang aneh. Apa agaknya maksud mimpinya itu? Apa kaitannya dia dengan Sang Raja di dalam mimpi yang memanggilnya dengan gelaran cucunda?

Ketika sedang asyik melayan fikiran, tiba-tiba Nara dapat merasakan seperti ada kelibat seseorang sedang berdiri memerhatikannya dari hujung bilik. Betul-betul di sebelah katil kosong. Nara menoleh.

Alangkah terperanjatnya Nara apabila melihat kelibat wanita berambut panjang yang berpaut di kaki gadis itu sedang tercegat berdiri memandang ke arahnya dengan wajah menyeramkan.

Walaupun terkejut tetapi kali ini Nara berasa seperti ada keberanian untuk berhadapan dengan makhluk itu. Nara memandang kembali makhluk itu.

“Jangan masuk campur dengan urusan aku!” sekali lagi makhluk itu memberi amaran.
“Wahai makhluk terkutuk. Aku tidak gentar dengan kau. Pergi sebelum kau aku musnahkan!” balas Nara kembali.

Anehnya, bibirnya tidak menuturkan apa-apa. Interaksinya dengan makhluk itu cuma di dalam hati. Tetapi sama-sama saling memahami.

Makhluk itu membeliakkan mata dengan marah. Matanya merah menyala bagaikan dipenuhi darah.
Lidah Nara lancar membaca Ayatul Qursi dan beberapa ayat lain yang sebelum ini langsung tidak pernah dihafalnya.

Makhluk itu gelisah dan akhirnya tiba-tiba menghilang di sebalik langsir. Suasana bilik tiba-tiba terasa dingin semula. Nara tahu makhluk itu sudah pergi.

Nara teringat janjinya kepada lelaki tua yang ditemuinya di masjid tempohari. Nara membuka laci mencari telefon bimbitnya.

Terdapat satu mesej yang belum dibuka. Mesej dari lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Haji Miskam. Haji Miskam menyertakan alamatnya sekali.

Nara dapat merasakan seperti dia sudah bersedia untuk mengubati gadis malang itu. Nara percaya dia memang ditakdirkan untuk membantu.

Nara tidak sabar menanti hari esok. Dia mahu segera keluar dari hospital. Dia seperti mendapat firasat, malam ini makhluk itu akan mengganas dan semakin menyakiti gadis itu. Perasaan simpati Nara semakin membuak-buak.

Bersambung….

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button