“Saat Paling Sedih” Jururawat Kongsi Kisah Pilu

Kuala Lumpur: “Situasi menyayat hati saya alami sepanjang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah apabila pesakit tenat, saya akan panggil semua ahli keluarga duduk sebelahnya buat kali terakhir.

“Itu paling sedih sebabnya dekat ICU ada monitor tekanan darah dan jantung. Saya akan terangkan kepada keluarganya bila bacaannya menunjukkan kosong,” kata jururawat di Hospital Serdang, Amirah Atiqah Azman, 28.

Bagaimanapun kata Amirah, situasi kerjanya ketika pandemik Covid-19 lebih memilukan apabila terpaksa membuat panggilan video kepada keluarga pesakit positif mempunyai harapan tipis untuk sembuh.

“Momen masa buat panggilan video kali terakhir ini amat menyentuh perasaan apabila pesakit dibungkus dan dibalut kemudian saya buat panggilan.

“Bak kata doktor, mereka tidak dapat nak selamatkan walau dah cuba pelbagai usaha. Pesakit masih tiada reaksi dengan apa yang dibuat,” katanya yang sudah enam tahun bertugas di situ.

Panggilan Video Sememangnya Menyedihkan


Menurutnya, ketika membuat panggilan video, dia meletakkan dirinya di tempat mereka.

“Sebabnya keluarga susah nak jumpa pesakit ketika pandemik Covid-19. Ia komunikasi kali terakhir mereka tak dapat pegang tangannya dan tak dapat sentuh seperti sebelum adanya Covid-19.

“Saya memang akan rasa sedih bila buat begini. Saya nampak setiap muka keluarga pesakit menangis dalam video ini,” katanya.

Amirah antara pemenang Kempen 30 Hari 30 Frontliners berkata, penghargaan ini penguat semangatnya untuk berjuang melawan pandemik.

Anak sulung daripada enam beradik ini berkata, memandangkan kini bertugas di wad ICU Covid, dia hanya bertawakal kepada Allah setiap kali balik kerja.

“Saya kerja di tempat yang sangat bahaya dan tak nampak sama ada Covid itu ikut saya balik atau tak. Tapi, saya akan pastikan sebelum balik mandi dahulu.

Bersihkan Diri Sebelum Layan Anak

“Apabila sampai rumah, saya mandi lagi sekali dan tukar baju sebelum layan anak. Sekarang semua paranoid bila keluar tempat awam atau berbahaya,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai anak lelaki berumur tiga tahun.

Bercerita pengalaman manisnya, Amirah berkata, ia dikecapi apabila bertugas dengan kawan-kawan yang bekerjasama dan sekepala.

“Saya memang asalnya ditempatkan di wad ICU dan jaga pesakit yang koma sebelum Covid melanda. Ada masanya saya dan rakan setugas anjurkan makan-makan dan minum.

“Sekarang aktiviti ini terhenti seketika. Keseronokan lainnya apabila doktor okey satu kepala, jadi tidak stres,” katanya.

metro

Benci Saya? Silakan Kata Ayu Ting Ting

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker