Taliban Terima Tentangan Dari Seluruh Afghanistan

Tentangan terhadap Taliban semakin meningkat di seluruh Afghanistan dan kumpulan itu tidak dapat menyekatnya, dakwa adik bekas komander Mujahidin, Ahmad Shah Massoud.

Kenyataan itu dibuat Ahmad Wali Massoud, selepas anak saudaranya, Ahmad Massoud, anak kepada Ahmad Shah Massoud bersama bekas Naib Presiden, Amrullah Saleh, mengetuai tentera pemberontak berpangkalan di Lembah Panjshir, utara Kabul.

“Jika Taliban mahu menyerang, rakyat berhak menentang. Semangat menentang Taliban kini tersebar di seluruh Afghanistan,” katanya.

Massoud berkata, kepercayaan rakyat Afghanistan sudah berubah sejak 20 tahun lalu mereka sukar menerima sebarang jaminan diberikan Taliban sekarang.

“Kaum wanita Afghanistan sendiri akan menentang kerana nilai mereka berbeza dengan golongan yang menyokong Taliban, begitu juga generasi muda yang mewakili 70 peratus penduduk.

“Tidak kira apa yang terjadi, penentangan akan terus berlaku, ia adalah perjuangan global, hak sejagat dan ia tidak akan mati,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Massoud, anak kepada Ahmad Shah Massoud yang dibunuh pada 2001, berikrar tidak akan menyerah, namun sedia berunding dengan pemerintah baharu Afghanistan.

Di Kabul, rakyat Afghanistan terus bergegas menyelamatkan diri dari pemerintahan Taliban dan sanggup pergi ke mana-mana negara asalkan dapat bebas daripada cengkaman Taliban.

Namun, pihak Barat berkata Taliban sudah memberi jaminan akan membenarkan proses itu berlaku sebaik sahaja tempoh pengunduran Amerika Syarikat (AS) tamat minggu depan.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata Taliban sudah menyatakan komitmen mereka membenarkan rakyat AS, penduduk Afghanistan dan warga lain keluar dari negara itu walaupun selepas tempoh pengunduran berakhir.

“Mereka bertanggungjawab memegang komitmen dinyatakan dan menyediakan laluan selamat kepada sesiapa saja yang mahu meninggalkan negara berkenaan,” katanya.

Blinken berkata, sekurang-kurangnya 4,500 daripada 6,000 warga AS sudah meninggalkan Afghanistan.

Setakat ini, 80,000 orang sudah meninggalkan Afghanistan sejak 14 Ogos lalu, namun masih ramai yang berada di perkarangan lapangan terbang Kabul, berharap dapat keluar dari negara berkenaan yang kini dipimpin Taliban. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker