‘Transporter’ Dapat Upah RM300

Kajang: Polis menumpaskan dua sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai membabitkan nilai rampasan RM23.7 juta selain menahan tiga lelaki yang berperanan sebagai transporter (penghantar) dalam Op Kontraban, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih di Shah Alam dan Klang, Selangor, hasil risikan yang dijalankan sejak dua bulan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, serbuan pertama jam 6 pagi menahan dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun yang memandu dua lori kontena di Jalan Tamborin, Seksyen 33, Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan menemui 87,150 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM7,784,900 dengan nilai cukai sebanyak RM12,282,290. Polis turut merampas kenderaan berkenaan dan telefon bimbit.



“Hasil tangkapan suspek itu yang mengaku pernah membawa kontena lain sebelum ini membolehkan polis mengesan satu lagi sindiket penyeludupan minuman keras lalu menyerbu sebuah premis di Kapar, Klang Utara pada jam 8.30 pagi.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 1,295 kotak arak tidak bercukai disembunyikan dalam sebuah kontena yang dianggarkan bernilai RM1,480,277 dengan nilai cukai sebanyak RM1,971,855.97,” katanya di Batalion 4 PGA Semenyih di sini, semalam.

Zainal Abidin menunjukkan barang rampasan di Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, semalam.

Menurut Zainal, soal siasat dilakukan ketiga-tiga suspek mengaku bertindak sebagai penghantar dengan bayaran antara RM100 hingga RM300 bagi sekali penghantaran mengikut kawasan.

Bagaimanapun, katanya, suspek mendakwa tidak mengetahui barangan yang dihantar selain tidak mengenali dalang sindiket berkenaan.

Ditanya mengenai taktik sindiket itu menyeludup masuk barangan tidak bercukai itu, beliau berkata ia dibawa masuk melalui kawasan pelabuhan sebelum dihantar penghantar ke lokasi tertentu yang diarahkan sindiket.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pembabitan ‘orang dalam’ berkait rantaian sindiket penyeludupan berkenaan namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan kakitangan awam terbabit.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Zainal berkata, aktiviti penyeludupan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kutipan cukai antara RM5 hingga RM6 bilion setahun.

Berikutan itu, beliau berkata, Op Kontraban dilancarkan bagi membanteras kegiatan jenayah penyeludupan terutama rokok dan minuman keras yang mengancam ekonomi negara.



Pelabuhan Klang: Isytihar kononnya kontena dibawa masuk ke Malaysia hanya berisi pakaian. Namun pemeriksaan rapi dilakukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui sejumlah rokok seludup bernilai lebih RM6 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, pasukannya berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih itu susulan pemeriksaan di kawasan Pelabuhan Utara di sini, baru-baru ini.

“Pasukan operasi berjaya menahan sebuah kontena mengandungi dagangan larangan iaitu rokok putih.

“Semakan mendapati kontena itu diikrarkan mengandungi pakaian bagi mengelirukan pemeriksaan pihak JKDM,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 9 juta batang rokok seludup dirampas.

“Ia dianggarkan bernilai RM6,030,000 termasuk nilai cukai. Rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas kesalahan cubaan mengelakkan dengan duti kastam dan mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.,” katanya.

Sehubungan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di talian 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri,” katanya.

metro

Ditidurkan, Mengapa dan Untuk Apa (Video)

Leave a Reply