Beri Ruang Kepada Kabinet Ismail Sabri

 

 

Oleh – Bakhtiar Omar

PENGUMUMAN barisan kabinet oleh YAB Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob menerima pelbagai reaksi netizen serta rakyat.

Melihat susun atur kabinet Ismail Sabri, ada yang mengejutkan namun wujud beberapa pembaharuan yang dilakukan akan menjadi perhatian umum.

Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ diumum oleh Ismail Sabri masih mengekalkan beberapa ‘top gun’ PPBM selain menukar portfolio beberapa nama lain.

Azmin Ali masih kekal sebagai Menteri Kanan portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Hishamuddin Tun Hussein Menteri Kanan bagi Pertahanan.

8 lagi anggota kabinet kerajaan lalu masih kekalkan jawatan masing-masing, manakala nama Khairy Jamaluddin memberi kejutan apabila dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Adham Baba pula mengambil tempat KJ di MOSTI. Manakala pemilihan  MP Arau, Shahidan Kassim agak mengundang kontroversi apabila mengambil alih tempat Annuar Musa di Kementerian Wilayah. 

 

 

Kementerian Belia dan Sukan menerima muka baru dengan pelantikan Faizal Azumu sebagai Menteri dibantu oleh Ti Lian Ker.

Pembaharuan dilakukan diharap akan dapat menunjukkan komitmen di dalam tempoh 100 hari terawal dan mengembalikan keyakinan kepada rakyat usaha pemulihan ekonomi sedang dipergiatkan.

‘Keluarga 69’

Walaupun ada kritikan menyatakan kabinet Ismail Sabri ini saling tidak tumpah seperti watak filem ‘Keluarga 69’, namun perlu diingatkan, ini adalah kabinet baru dengan tema baru.

Beri ruang kepada Ismail Sabri menentukan hala tuju kabinetnya serta corak  pemerintahan beliau.

Annuar Musa yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia perlu bekerja keras memastikan setiap dasar kerajaan sampai kepada pengetahuan rakyat.

Rakyat pastinya akan menilai sejauh mana keberkesanan kabinet Ismail Sabri bermula Isnin depan.

Dasar-dasar baru yang akan diterapkan dan kemampuan setiap kementerian menepati sasaran ditetapkan, akan diikuti rapat perkembangannya. 

Cukuplah sepenggal yang penuh dramatik dengan pertukaran 2 Perdana Menteri dan 2 kerajaan sebelum ini.

Tidak perlu lagi ada kerajaan dinamakan mengikut parti politik sebaliknya terus kekal sebagai kerajaan.

Adalah diharapkan kerajaan ini terus kekal sehingga tamat tempoh mandat pada 2023.

Tiba masanya kelak pulangkan kembali hak kepada rakyat bagi memilih sebuah kerajaan yang lebih stabil dan berupaya menjaga negara dengan lebih baik.

Buat masa sekarang, rakyat perlu memberi ruang kepada Ismail Sabri dan kabinetnya menjalankan tugasan mereka tanpa ada gangguan yang menggugat kestabilan. 

Perikatan Apa Selepas Tubuh Kerajaan Baru?

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker