Kenaikan Mendadak Johor Akibat Rentas Negeri

Punca utama kenaikan mendadak kes Covid-19 di Johor, dikesan berikutan pergerakan rentas negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, rentas negeri yang masih berleluasa menyebabkan penularan antara negeri terus berlaku.

Katanya, trend peningkatan kes di Johor dikesan berlaku sejak Julai lagi dengan jumlah tertinggi dilaporkan semalam iaitu sebanyak 2,785 kes, dengan 1,228 kes daripadanya adalah kontak rapat yang positif.

“Faktor penyumbang kenaikan kes di Johor turut disumbangkan daripada peningkatan kes yang berlaku di seluruh negara, khususnya di negeri yang mempunyai liputan vaksin yang rendah.

“Punca utama penularan di antara negeri disebabkan masih berlakunya pergerakan rentas di antara negeri.

“Peningkatan kluster juga adalah penyumbang utama peningkatan kes di negeri ini dengan semalam sahaja, terdapat 10 kluster baharu yang dilaporkan iaitu lima kluster industri, dua kluster komuniti dan tiga kluster institusi membabitkan Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Kluang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, kluster industri menyumbang sebanyak 72 peratus daripada kluster yang masih aktif, membabitkan sebanyak 12,201 kes Covid-19 yang masih aktif.

“Kluster komuniti juga semakin kerap dilaporkan, menyumbang sebanyak 10 peratus daripada kluster aktif semasa, membabitkan sebanyak 1,246 kes.

“Bilangan kontak rapat positif yang tinggi menunjukkan kelemahan di dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di kalangan masyarakat.

“Ramai masyarakat turut dikesan mengabaikan larangan 3S (sempit sesak dan sembang dekat),” katanya.

Vidyananthan berkata, Johor juga masih lagi berada pada Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus belum beralih ke fasa yang seterusnya.

“Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita semua perlu mengambil berat terutama tidak merisikokan diri sendiri mahupun keluarga dan memandang serius kesan Covid-19 kepada masyarakat.

“Kita perlu mengurangkan pergerakan atau aktiviti menziarahi keluarga bagi mengekang penularan di kalangan komuniti,” katanya. -metro-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button