Gugurkan Menteri Tidak ‘Perform’ Selepas 100 Hari
Dato Sri Najib Razak berharap agar kesemua barisan Kabinet yang dibentuk pada Jumaat dinilai berdasarkan hasil dan pencapaian.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, sekiranya penilaian itu kurang memuaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menggugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian selepas berakhirnya tempoh 100 hari.
“Harapan saya satu sahaja. Bahawa kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian.
“PM ke-9 akan gugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau pada masa sama mempertahankan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, meskipun menyedari ramai rakyat kecewa dengannya.
“Bagaimanapun, saya faham kenapa PM9 dan YDP Agong membuat keputusan berikut. Ia dibuat bagi mengelak perubahan terlalu besar dilakukan pada ketika tempoh kritikal ini,” jelasnya.
Najib bagaimanapun memberitahu akan cuba membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara termasuk membabitkan COVID-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.