Sinovac, Sinopharm Halang Kesan Teruk Delta

Vaksin keluaran China yang berdasarkan partikel virus tak aktif telah berjaya menghalang jangkitan teruk dan kritikal, ketika penularan Covid-19 melibatkan varian Delta di Guangdong, menurut laporan penyelidik.

Penyelidik juga mendapati dua dos vaksin adalah 69.5 peratus berkesan untuk menghalang gelaja pneumonia.

Kajian itu – yang masih menunggu untuk penilaian rasmi pakar lain – menunjukkan prestasi vaksin tak aktif terhadap varian Delta – yang lebih mudah berjangkit dan dikatakan dapat menghadapi vaksin pada tahap tertentu.

Kajian yang dijalankan Guangdong Provincial Centre for Disease Control and Prevention dimuat naik di laman SSRN pada 5 Ogos lalu.

Kajian itu tidak melihat keberkesanan vaksin dalam menghalang semua gejala Covid-19, seperti lazim dilakukan kajian seumpamanya.

Ia melibatkan 10,813 orang dewasa yang positif ketika penularan varian Delta di Guangdong, bermula 21 Mei hingga 18 Jun, dan dikenal pasti menerusi pengesanan kontak sehingga 23 Jun. Penularan bertumpu di dua jalan di kota itu.

Daripada jumlah yang terlibat, seramai 5,888 orang (54.5 peratus) tidak divaksin, 1,407 (13 peratus) divaksin penuh, manakala bakinya dalam pelbagai peringkat vaksinasi.

Untuk kajian ini, vaksinasi penuh ditakrifkan sebagai mereka yang menjadi kontak rapat kes positif sekurang-kurangnya 14 hari selepas menerima dos kedua.



Di kalangan mereka yang divaksin penuh, 807 orang (57.4 peratus) mendapat satu dos vaksin CoronaVac keluaran Sinovac, 597 (42.4 peratus) menerima vaksin Sinopharm-BBIBP-CorV dan 3 orang (0.2 peratus) mendapat vaksin Sinopharm-WIBP.

Bagi dos kedua mereka, 822 (58.4 peratus) menerima vaksin CoronaVac, 582 (41.4 peratus) menerima Sinopharm-BBIBP-CorV dan tiga (0.2 peratus) menerima Sinopharm-WIBP.

Seramai 85 orang yang tidak divaksin (1.44 peratus) mengalami pneumonia berbanding lima orang yang divaksin penuh (0.36 peratus).

Selain itu, 19 orang (0.32 peratus) yang tidak divaksin mengalami gejala teruk atau kritikal, dan tiada individu yang divaksin penuh mengalami perkara itu.

Para penyelidik tidak mengalanisis keberkesanan setiap vaksin secara berasingan, dan berkata kadar vaksinasi yang sederhana dalam kajian menyebabkan analisis bagi setiap subkumpulan adalah mustahil.

Kata mereka lagi, walaupun cuba mengambil kira semua pemboleh ubah yang diketahui dalam kajian bagi mengira keberkesanan vaksin – seperti umur, kekerapan kontak dengan kes indeks dan pekerjaan – masih ada pemboleh ubah lain yang boleh memberi kesan kepada kesahan analisis. Ini merupakan ciri biasa bagi semua kajian pemerhatian.

“Di sebalik dua batasan ini, kami yakin kajian ini memberikan maklumat berguna berkenaan keberkesanan vaksin dan mencadangkan yang vaksin tak aktif mungkin berkesan terhadap pneumonia Covid-19 dan Covid-19 teruk dan kritikal, yang dikaitkan dengan varian B.1.617.2, jika divaksin penuh,” kata mereka, merujuk kepada varian Delta.

Untuk rekod, vaksin Sinovac telah menerima kelulusan bersyarat di Malaysia dan sudah pun digunakan secara meluas, termasuk dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Vaksin Sinopharm-BBIBP-CorV (juga dikenali sebagai Covilo) juga menerima kelulusan bersyarat, tetapi Sinopharm-WIBP masih belum menerimanya. Kedua-dua vaksin ini tidak digunakan dalam Pick.

malaysiakini

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker