Anak Perantau Rindukan Suasana Hari Kebangsaan

 

Suasana menyambut kemeriahan Hari Kebangsaan menjelang jam 12 tengah malam dan percikan bunga api berwarna-warni antara momen dirindui anak perantau.

Berasal dari Rawang, Selangor, Khairul Amri dikenali sebagai BangChik sudah menetap di Tanah Suci selama enam tahun bersama isterinya, Nurul Hajjah Mohd Jais, 35, yang bekerja di sana dan dua anak mereka, Kaizer Ayden, 5, serta Khadeejah Humairah, 1.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan di tanah air sememangnya sangat dirinduinya.

Meriah Suasana Malaysia

“Di Malaysia, kemeriahan Bulan Kebangsaan akan dirasai selama sebulan.



“Menjelang 31 Ogos, kemeriahan sambutan semakin memuncak. Berkumpul bersama keluarga dan melihat percikan bunga api sememangnya cukup menyeronokkan.

“Tetapi, apabila ketika berada di luar negara, kami sekeluarga hanya mampu melihat sahaja dari jauh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi suasana sambutan Hari Kebangsaan di Tanah Suci Makkah, kata Khairul Amri sebelum pandemik Covid-19, beliau bersama rakyat Malaysia lain berkumpul dan meraikannya dengan pelbagai aktiviti menarik.

Berkumpul Adakan Jamuan

“Kebiasaannya, kami sesama rakyat Malaysia akan berkumpul dan mengadakan jamuan bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan walaupun berada jauh beribu batu dari tanah air.



“Namun, pada musim pendemik ini tiada sambutan atau acara diadakan. Jadi, kami hanya meraikannya bersama keluarga di rumah,” katanya yang sangat merindui hidangan roti banjir dan teh tarik.

Khairul Amri aktif membuat video blog atau vlog di saluran YouTube BangChik Life dan bagi mengisi masa lapang beliau akan memasak makanan Malaysia bersama isterinya.

Dalam keadaan sukar disebabkan pandemik ini, Khairul Amri berkata, beliau mendoakan negara kembali pulih dan itu caranya menzahirkan rasa sayangnya kepada Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan ke-64.

Duta Kecil Malaysia

“Sebagai rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, saya juga perlu menjadi duta kecil kepada negara tercinta.

“Oleh itu, apa juga persoalan yang diutarakan, saya perlu menjawab sebaik mungkin untuk mengembalikan kepercayaan dunia terhadap Malaysia,” katanya.

nst

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker