Lajim Ukin Meninggal Dunia Akibat Covid

 

Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Lajim Ukin yang dirawat akibat jangkitan COVID-19 sejak kira-kira dua minggu lalu meninggal dunia pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.23 pagi tadi di Hospital KPJ, di sini.

Pemergian bekas Ahli Parlimen Beaufort itu disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong.

“Ya benar, beliau telah meninggal pada jam 6.23 pagi tadi dan saya telah menerima panggilan daripada pihak hospital.

“Setakat ini masih di Hospital KPJ namun jenazahnya saya akan bawa juga pulang ke Beaufort,” katanya, di sini.

Berita sedih mengenai pemergian Lajim turut dikongsi bekas Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Samin Ongki.

“Dukacita dimaklumkan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin baru saja menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ sebentar tadi.

“Jenazah akan dibawa balik ke Kampung Kabatu, Beaufort selepas proses Kementerian Kesihatan (KKM) selesai. Terima kasih atas doa anda semua,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pagi ini.

Lajim, 66, dimasukkan ke Hospital KPJ selepas disahkan positif COVID-19 ketika mendapatkan rawatan kerana kurang sihat sekembalinya dari lawatan kerja kerajaan negeri di Kudat pada 12 Ogos lalu.

Kesihatan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dilaporkan merosot selepas kira-kira seminggu dirawat sebelum ditidurkan pada awal minggu ini.

Bagaimanapun, sepanjang ditidurkan keadaannya dilaporkan kembali stabil sebelum meninggal dunia pagi ini.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button