Czer Pun Pertaruh Nyawa, Ayda Jebat Terus Dipertahan

 

Beberapa rakan artis tampil mempertahankan keputusan penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, 29, yang memilih bersalin menerusi kaedah ‘Czer’ (tingkap) atau pembedahan selepas hal itu mencetus perdebatan ramai.

Mereka termasuk pelakon Catriona Ross, Ika Nabella dan Shima Anuar yang menyifatkan pemikiran menolak kaedah sebegitu tidak masuk akal dan berunsur dikriminasi.

“Ada lagi orang dengan kepercayaan kuno mengatakan golongan ibu yang bersalin menerusi ‘caesarean’ ini tidak rasa sakit dan bukan ibu sebenar. Tolong jangan tunjuk sifat kurang cerdik.

“Kalau kamu tidak pernah alami apa kami rasa waktu bersalin, tolong diam. Fakta tak betul dan guna kepercayaan siapalah kamu ini. Tak ada benda baik nak cakap, tutup mulut,” kata Catriona.

Ika pula beranggapan, setiap ibu tahu apa yang terbaik untuk mereka serta cahaya mata bakal dilahirkan meskipun apa jua keputusan diambil.

 





“Seriuslah, masih ada lagi golongan yang mendiskriminasi macam ini? Apa juga pilihan si ibu, itu adalah pilihan terbaik untuk bayinya dan diri sendiri pada kemudian hari,” katanya.

Manakala, menurut Shima pula, bersalin secara pembedahan semestinya ada risiko tersendiri dan tidak patut diperlekeh.

“Banyak mitos pasal ‘Czer’ sebenarnya. Tapi, untuk saya, alhamdulillah semua ‘okay’. ‘Czer’ pun ada sakit dia juga.



“Dan cuma nak beritahu, jangan perlekehkan orang bersalin ‘Czer’. Bersalin ‘Czer’ pun letak nyawa kat situ ‘okey’?” katanya.

Terdahulu, Ayda menyuarakan hasratnya untuk melahirkan anak menerusi pembedahan mengundang pelbagai reaksi pengikutnya di media sosial. Ada yang sanggup menulis komen, dia bukan ibu sebenar jika bersalin secara kaedah itu.

Kelmarin, Ayda dan suaminya, Nabil Mahir mengumumkan mereka bakal menimang bayi perempuan.

Ayda dijangka bersalin pada 8 Oktober depan, namun kerana memilih untuk menjalani pembedahan, dia akan bersalin dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan.

metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button