MERDEKA 64 – Apa Pengertian Sebenar Kemerdekaan?

 

Oleh – Tinta Perak

Esok kita bakal meraikan Hari Kebangsaan  ke-64. Kalau ditanya secara umum tentang Hari Kebangsaan, jawapan biasa didengar sudah tentulah merdeka dan pembebasan.

Mudah, kerana semua orang tahu dan telah diajar bahawa pada detik 31 Ogos 1957, itulah negara telah diisytihar bebas daripada cengkaman penjajah dan memungkinkan kita membentuk negara bangsa sendiri.

Pengertian Merdeka

Semenjak 64 tahun itu jugalah merdeka daripada penjajahan telah menjadi satu leksikon sambutan ulangtahun Hari
Kebangsaan.

Sambutannya dipenuhi dengan pengisian sejarah perjuangan rakyat berbilang kaum di
Malaysia di dalam menuntut kemerdekaan yang turut diselang-selikan dengan pelbagai 
program bersifat patriotik dan kenegaraan.

Begitulah lazimnya.

Namun begitu, berapa ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang benar-benar faham dan menghayati maksud sebenar merdeka dan kemerdekaan itu?

Apakah kemerdekaan hanya sekadar retorik pengisahan sejarah semata-mata?

Ataupun sekadar catatan peringatan agar semua tidak lupa dan terlepas pandang daripada menyambutnya setiap tshun. 

Kalaulah sedemikian, maka adalah wajar semua pihak mengambil sedikit waktu merenung dan menghayati makna merdeka dalam erti kata yang sebenar.

Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal semata-mata, malah merdeka daripada penjajahan tidak mutlak sifatnya.

Lihatlah berapa banyak negara mencapai kemerdekaan secara fizikal, tetapi masih lagi dijajah secara bukan fizikal.

Kepesatan teknologi hari ini juga telah memudahkan ancaman penjajahan bentuk baharu terutamanya dalam aspek budaya dan pemikiran.

Benar penjajah sudah lama pergi. Tetapi budaya dan pemikiran mereka masih kental mencengkam setiap aspek dalam bernegara daripada sistem politik, ekonomi mahupun sosial.

Jadi, apakah erti kata merdeka atau kebebasan yang sebenar? Alexis de Tocqueville dalam bukunya, Democracy in America (1835) mentakrifkan kebebasan (kemerdekaan) sebagai sesuatu yang boleh dan sering merosakkan.

Walaupun begitu, kebebasan sentiasa akan membuka jalan untuk pembinaan semula dan apa yang dibina dengan kebebasan selalunya akan kekal lama.

Namun, menurut Tocqueville, akhlak dan agama adalah pra syarat kepada kebebasan kerana kebebasan tanpa akhlak adalah tidak bermakna dan akhlak tanpa agama pula tiada gunanya.


Jati diri

Perkara itu juga dipersetujui oleh Pendeta Agung Za’ba. Sebab itu beliau mencirikan konsep merdeka sebagai ‘berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan lebih cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan’.

Bagi beliau, kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk oleh empat aspek utama: agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak).

Pendeta Zaa’ba

Aspek terpenting di antara keempat-empat itu sudah tentulah agama.

Menurut Za’ba, hanya dengan agama sahaja jiwa manusia akan mengecapi kemerdekaan yang sebenar.

Menurut beliau, hanya ajaran dan amalan agama yang betul akan memerdekakan manusia daripada bertaqlik dan pasrah secara membuta tuli kepada mana-mana makhluk.

Dalam masa sama agama juga menjadi pengimbang kepada penggunaan rasional akal secara berlebihan. Sebab itulah elemen islah berdalilkan al-Quran yang bersendikan akal dan ilmu pengetahuan sentiasa ditekankan oleh Za’ba dalam membetulkan segala kekurangan atau kelemahan.

Perkara inilah nanti yang akan menukarkan segala kekolotan fikiran dengan pemikiran lebih ideal dan seterusnya memerdekakan jiwa manusia.

Malah, Islam turut memperlihatkan bagaimana Nabi SAW diutuskan ALLAH SWT untuk memerdekakan umat manusia daripada kesesatan dan kezaliman kepada kebenaran serta keadilan.

Kedatangan Islam turut menjadi simbol kemerdekaan manusia daripada segala bentuk belenggu dan penjajahan kepada kebebasan yang sebenar agar manusia tidak tunduk dan takut kepada mana-mana makhluk atau kuasa selain ALLAH SWT.

Dengan bertauhid dan sentiasa mengamal suruhan-Nya, Islam membebaskan jasad dan akal manusia daripada belenggu duniawi yang sempit dan fana.

Lantaran itu, umat Islam akan sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik di atas kesedaran bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara dan segalanya akan diperhitungkan oleh ALLAH di akhirat kelak.

Justeru, konsep kemerdekaan tidak boleh berdiri secara sendiri dan mutlak. Ia harus disandarkan dengan kehakikian akal dan jiwa manusia yang fitrahnya merdeka.

Hanya dengan membebaskan jiwa dan minda daripada segala dogma yang sesat dan sempit menerusi rasional akal, ajaran agama serta akhlak yang baik sahaja akan mampu menerbitkan erti merdeka yang
sebenar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker