Najib Tawar Bantuan Guaman Untuk Siti Nur Azizah

 

Bekas perdana menteri Najib Razak menawarkan bantuan guaman kepada Siti Nur Azizah Syafriadi, gadis berusia 17 tahun yang menjadi mangsa samun sehingga mengakibatkan tangan kanannya terpaksa dipotong sehingga paras bahu.

Bersimpati dengan nasib gadis itu, Ahli Parlimen Pekan itu telah menghubungi pihak keluarga Nur Azizah bagi menghulurkan sejumlah bantuan.

 





“Pegawai saya telah pun berhubung dengan keluarga adik (Siti Nur Azizah) dan telahpun salurkan sejumlah bantuan tunai kecemasan dan menawarkan bantuan guaman,” katanya di Facebook.

Najib dalam pada itu turut meluahkan rasa marah terhadap penjenayah terbabit dan menyifatkan perbuatan tersebut zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Jika kita terdesak macam mana pun, jangan sesekali terjebak dengan jenayah,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan tangan kanan Nur Azizah terpaksa dipotong sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru.

Pada 26 Ogos lalu, Nur Aziah dan teman lelakinya yang menaiki motosikal Y15ZR telah disamun oleh tiga orang lelaki ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai menghantar makanan kepada pelanggan.

Suspek difahamkan telah menendang motosikalnya sehingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan.

Akibatnya Nur Azizah cedera di bahu kanan, dalam kejadian di Jalan Kuching menghala pusat bandar itu.

Nur Azizah yang kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) merupakan anak sulung kepada lima orang adik beradik.

Menurut abang saudara mangsa, selepas bapanya meninggal dunia, Nur Azizah yang tinggal di PPR Beringin Jinjang mengambil tanggungjawab membantu menambah pendapatan keluarga dengan menjual dan membuat perkhidmatan menghantar makanan.

fmt



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button