Kena Scam, Pereka Grafik Kerugian RM8,300

 

Pereka grafik kerugian RM8,300 selepas diperdaya individu menyamar sebagai wakil sebuah syarikat penerbangan yang menawarkan penebusan mata ganjaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa berusia 31 tahun menerima panggilan daripada seorang individu pada 27 Ogos lalu yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat penerbangan.

“Dia memaklumkan kepada mangsa terdapat mata ganjaran percuma atas nama mangsa yang boleh ditukarkan dengan wang tunai berjumlah RM 750.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan kemudian mendedahkan maklumat kad debit dan kad kredit untuk tujuan penebusan mata ganjaran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 



Menurutnya, selepas maklumat diberikan, mangsa menerima makluman daripada pihak bank menyatakan terdapat beberapa transaksi berlaku membabitkan akaun mangsa berjumlah RM8,300.

“Mangsa menyedari terpedaya dengan tawaran yang dijanjikan individu terbabit sebelum membuat laporan polis.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi serta maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer (Capaian Tanpa Kuasa),” katanya.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker