Bekalan Air Dijangka Pulih Dalam Tempoh 36 Jam

 

Tiada lagi pencemaran bau dikesan di loji rawatan air Sungai Semenyih, namun kawasan terjejas hanya akan mendapat semula bekalan dalam tempoh 36 jam, kata Air Selangor.

Dalam kenyataan, Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata, loji rawatan air Sungai Semenyih itu sudah bersedia beroperasi semula selepas bacaan tahap sifar TON (nombor ambang bangar) tiga kali berturut-turut direkodkan.

Proses Pembersihan & Rawatan Air Perlu Dilakukan

“Walau bagaimanapun proses pembersihan sistem rawatan air perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum memulakan proses rawatan air agar air terawat dapat diagihkan kepada para pengguna.

“Proses pembersihan dan rawatan air di loji akan mengambil masa lebih kurang 14 jam. Sehubungan itu, Air Selangor akan berkongsi pelan pemulihan bagi kawasan-kawasan yang terjejas dalam siaran media kami, pada hari esok 1 September 2021, jam 7 pagi,” katanya.



Senarai Kawasan Terjejas

“ Berikutan henti tugas ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) yang terlibat akan menerima bekalan air dalam tempoh 36 jam,” katanya.

Menurutnya, bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas, Air Selangor telah mengaktifkan pelan mitigasi dengan mengagihkan bekalan air alternatif dari loji rawatan air Langat 2 dan Labohan Dagang ke sebahagian kawasan di Wilayah Hulu Langat serta Kuala Langat.

Susulan itu, pengguna di kawasan Kajang Baru, Kajang, Semenyih dan Beranang di Wilayah Hulu Langat serta Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Pulau Carey di Wilayah Kuala Langat akan menerima bekalan air alternatif secara berkala, katanya.

Air Selangor Gerakkan Bantuan

Sementara itu, Air Selangor juga telah menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat, dengan 94 lori tangki air digerakkan ke situ.

Loji rawatan Sungai Semenyih ditutup pada 11.10 pagi selepas pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Antara kawasan yang terjejas bekalan air akibat kejadian ini termasuk Hospital Serdang dan Hospital Universiti Putra Malaysia, serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

fmt

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button