Empat Lagu Siti Sarah Unggul Dalam Carta

Siti Sarah Meninggal Dunia
Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin

 

Empat single Allahyarham Siti Sarah menduduki carta Top 10 Lagu Strim Paling Tinggi kendalian Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan lagu Kesetiaan yang dilancarkan pada 2002, menjuarai senarai minggu ke-33 berakhir 19 Ogos lalu.

Selain Kesetiaan ciptaan Ajai, single lain dendangan Allahyarham Siti Sarah yang merekodkan jumlah strim tinggi adalah Saat Hilang Cintamu, Semakin dan lagu duet bersama suaminya, Shuib Sepahtu, Semakin Benci Semakin Cinta.

Pengurus Indigital Music, Nana Mohamad Rom, berkata pemergian arwah Siti Sarah pada 9 Ogos lalu menarik perhatian peminat terhadap karya yang pernah dihasilkannya terutama dua lagu edaran syarikat berkenaan, iaitu Semakin dan Semakin Benci Semakin Cinta.

PKP 3.0 Had Pergerakan Rakaman

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di mana sudah lebih tiga bulan syarikat tidak dapat beroperasi termasuk melakukan proses rakaman lagu baharu atau video muzik, permintaan terhadap lagu arwah Siti Sarah meningkat.

“Ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku. Biarpun Siti Sarah sudah pergi, arwah meninggalkan banyak perkara positif,” katanya.

Mengikut Carta RIM, Selepas single Kesetiaan menduduki tangga pertama, single duet berjudul Semakin Benci Semakin Cinta nyanyian Siti Sarah bersama Shuib mencapai tangga kelima carta Top 10 Lagu Strim Paling Tinggi untuk minggu Ke-33.

Ini diikuti single yang dilancarkan pada 2003, Saat Hilang Cintamu yang menduduki tangga keenam manakala lagu Semakin berada pada kedudukan kesembilan.

Nana berkata, bukan sekadar lagu arwah Siti Sarah distrim, video muziknya di saluran YouTube Indigital Music merekodkan peningkatan tontonan tinggi.

“Jumlah tontonan muzik video lagu Semakin, Semakin Benci Semakin Cinta dan lagu duet bersama Hazama, Terakhir Buat Teman di saluran Indigital Music meningkat.

“Bukan sahaja video muzik rasmi yang dimuat naik di saluran kami, malah klip yang dikongsi peminat. Contohnya, jumlah tontonan muzik video lirik Semakin Benci Semakin Cinta di saluran Indigital mencatat kira-kira 800,000 tontonan.

“Namun, jika dicampur menerusi muzik video dimuat naik pengguna, ia boleh mencecah sejuta tontonan.

“Alhamdulillah, kami terharu lagu Siti Sarah masih diingati termasuk Semakin yang dicipta Shuib buat isterinya,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu jam 5.13 pagi, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir selepas 48 jam ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, akibat positif COVID-19.

Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, jam 1.20 tengah hari, pada hari sama.

bh

Siti Sarah Meninggal Dunia Selepas Bertarung Dengan Covid



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button