Penawar Covid19, Kelapa Muda Laris Di Pasaran

 

 

Kepercayaan kononnya air kelapa muda boleh menjadi penawar atau melawan virus Covid-19 menyebabkan jualan air buah berkenaan meningkat.

Dua beradik berniaga kelapa muda di sini yang enggan dikenali berkata, mereka tidak pernah mengatakan air kelapa sebagai ubat atau boleh menyembuhkan Covid-19.

Menurutnya, sebaliknya pelanggan yang beranggapan demikian malah perkara itu menjadi perbualan masyarakat ketika ini.



“Kami tidak mengatakan air kelapa muda boleh merawat Covid-19 tetapi pelanggan yang kata begitu.

“Mereka kata air kelapa muda setidak-tidaknya boleh mencegah daripada dijangkiti Covid-19 dan baik untuk penyakit lain seperti demam.

“Tapi saya percaya ada juga pelanggan yang minum kelapa muda kerana rasanya yang sedap, manis dan untuk menghilangkan dahaga terutama jika cuaca panas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, sebelum ini jualan harian antara 25 hingga 35 biji sehari pelbagai jenis kelapa muda seperti pandan, kelapa mataq, mawar dan kelapa gading.

“Namun mungkin disebabkan percaya air kelapa muda baik untuk melawan virus Covid-19, sejak kebelakangan ini jualan meningkat sehingga 45 sehingga 60 biji sehari.

Bekalan kelapa diambil di kawasan Bagan Datuk,” katanya.

Menurutnya, pelanggan mendakwa minum air kelapa muda tanpa dicampur ais dan gula baik untuk kesihatan badan.

“Ada pelanggan yang membeli hingga tujuh biji kelapa muda sekali gus, apabila ditanya katanya untuk simpan jika terkena Covid-19,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Norizan Din, 45, berkata, dia minum air kelapa bukan disebabkan ramai yang percaya air kelapa menjadi penawar Covid-19.

Katanya, sebelum muncul virus itu lagi dia sudah menggemari air kelapa.

“Saya tak pasti kenapa ada yang mengaitkan air kelapa muda sebagai penawar Covid-19 namun kita semua tahun air kelapa banyak khasiatnya dan menyegarkan badan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker