Insiden Di HSI Tidak Patut Berlaku Lagi – TMJ

 

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan kejadian seorang wanita bersalin secara bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, tidak patut berlaku lagi.

Tunku Ismail bertitah, pihak yang terbabit akan diberikan peringatan dan amaran supaya menjalankan tugas bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pesakit.

“Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan melihat kenyataan jabatan itu.

“Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin. Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi,” titah baginda menerusi Twitter.

Tunku Mahkota Johor bertitah selepas netizen berkongsi laporan berita insiden wanita berkenaan bersalin sendirian kepada baginda.



Semalam, JKNJ dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian seorang ibu yang bersalin seorang diri di dewan bersalin HSI, di sini, bulan lalu.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, dilaporkan yang mengakui kejadian berkenaan berlaku berkata, secara keseluruhannya aduan itu adalah berasas dan JKNK akan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan.

Kelmarin, tular di media sosial, dakwaan seorang wanita membuat hantaran di Facebooknya mendakwa bahawa dia terpaksa melahirkan anak seorang diri di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif Covid-19, setelah panggilannya untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.

Wanita itu membuat naik status berkenaan di akaun Facebooknya pada 31 Julai, tetapi hanya menjadi tular sejak kelmarin.

Pendedahan ibu berkenaan serta laporan maklum balas JKNJ semalam, menerima kecaman meluas netizen yang kecewa berikutan insiden berkenaan membahayakan nyawa ibu serta bayi yang tidak dipantau malah mereka mengharapkan petugas kesihatan lebih peka dan ikhlas dalam menjalankan tugas.

metro

Leave a Reply