JAIS Akan Hantar Arahan Rasmi Kepada Individu

 

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengeluarkan arahan secara rasmi kepada individu bawah agensi itu yang enggan divaksin menerusi surat kepada mereka dalam masa terdekat.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, agensi itu akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam program vaksinasi khas bagi memastikan seramai 112 individu yang enggan disuntik vaksin Covid-19 menerimanya.

 



“Jika mereka tidak hadir, tindakan sewajarnya akan dimulakan mengikut peraturan ditetapkan.

“JAIS sangat berharap agar semua yang terlibat akan hadir pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita susulan 112 individu termasuk guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini enggan menerima suntikan vaksin.

Ini termasuk 11 pegawai masjid dan enam jurunikah bawah JAIS.

“Beta difahamkan, seramai 326 guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, manakala 95 guru lagi enggan menerima suntikan vaksin.

“Seramai 59 pegawai masjid juga belum mendapat suntikan vaksin dengan 11 daripadanya enggan berbuat demikian. Sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenal pasti enggan menerima suntikan.

“Beta berharap JKNS dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah di Selangor,” titah baginda.

fmt

Leave a Reply