Majlis Paralimpik Malaysia Siasat Dalang Isu Ziyad
Ketika isu penarikan semula pingat emas Muhammad Ziyad Zolkepli sudah menemui jawapan, persoalan kini terarah kepada siapa individu yang sepatutnya bertanggungjawab mengiringi dan menguruskan atlet para lontar peluru negara itu menjelang aksi final F20, Selasa lalu.
Ini kerana, individu di sekelilingnya seharusnya bertanggungjawab dan lebih arif dalam soal peraturan semasa hari pertandingan termasuk perlu hadir awal ke bilik panggilan ketika Ziyad pula harus memberi fokus kepada persiapan menjelang detik paling penting dalam kariernya itu.
Persoalan itu mula dibangkitkan banyak pihak kerana rata-rata berasakan isu berkenaan tidak akan berlaku sekiranya pegawai yang mengiringi Ziyad lebih peka, profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan di hari pertandingan.
Ketua kontinjen negara yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengakui ia adalah perkara yang menjadi keutamaan dalam isu Ziyad dan siasatan mengenainya sedang dilakukan.
“Saya sedia maklum berkenaan isu pegawai pengiring yang hangat diperkatakan dan ia sememangnya antara perkara yang menjadi keutamaan dalam isu Ziyad ini.
“Siasatan sedang dilakukan termasuk mendapatkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) kawasan call room. Tetapi sebagai CDM (ketua kontinjen) bukan tugas saya untuk menghukum sesiapa. Buat masa ini fokus saya hanya untuk memastikan atlet kekal fokus di sini.
“Segala siasatan termasuk jika ada kecuaian daripada pegawai pengiring atau jurulatih akan dikemukakan dalam Jawatankuasa Siasatan seperti diminta Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu). MPM juga akan bekerjasama rapat dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dalam Jawatankuasa Siasatan ini.
“Saya juga sudah menasihatkan pegawai, jurulatih dan sesiapa sahaja yang mengiringi atlet pada masa sekarang dan baki saingan bahawa mereka semua harus peka dan memahami peraturan di setiap acara masing-masing,” katanya.
Megat menegaskan beliau sendiri bergegas ke venue yang membabitkan penyertaan atlet negara bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi.
“Sebenarnya tugas CDM lebih besar daripada itu tetapi saya juga ambil inisiatif yang lebih baik dan tidak keberatan melakukannya kerana tidak mahu perkara sama berlaku lagi,” katanya.
metro