Pelajar Perlu Diberikan Imunisasi Covid

 

Pakar kesihatan awam berpandangan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun perlu diberikan imunisasi lengkap Covid-19 sebelum dibenarkan kembali ke sekolah secara fizikal.

Imunisasi itu perlu diberikan disamping meneruskan pematuhan pemakaian prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan amalan membasuh tangan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, keperluan itu berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kes jangkitan dan kematian babitkan kumpulan usia kosong hingga 17 tahun.

“Insiden kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di bawah 18 tahun yang dilaporkan KKM menunjukkan peningkatan yang tinggi.

“Data untuk kumpulan 0-4 tahun menunjukkan peningkatan dari 3,180 kes (1.256 per 1000 populasi berumur 0-4 tahun pada 2020) kepada 81,168 kes (32.91 per 1000 populasi berumur 0-4 tahun pada 2021) berdasarkan anggaran penduduk pertengahan tahun yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia.

 



“Namun peningkatan drastik saringan kes yang dijalankan pada 2021 menunjukkan kadar fataliti kes menurun pada 2021(0.02 kadar kematian kes) berbanding 2020 (0.09 kadar kematian kes),” katanya.

Beliau mengulas peningkatan kes jangkitan dan kematian pesakit Covid-19 membabitkan bayi, kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun disiarkan Harian Metro hari ini.

Data KKM merekodkan kes jangkitan Covid-19 membabitkan usia kosong hingga 17 tahun pada 2020 adalah 12,620 kes dengan enam kematian manakala tahun ini setakat 30 Ogos sebanyak 310,074 kes jangkitan membabitkan 41 kematian.

Beliau berkata, jika dilihat kepada peratus kes mengikut kelas umur menunjukkan penurunan peratus hanya untuk kategori 13-17 tahun dari 32.8 peratus (tahun 2020) kepada 28.7 peratus (tahun 2021).

Manakala, katanya, kumpulan umur lain didapati semakin meningkat peratusan berdasarkan jumlah kes tahunan.

 



“Namun bilangan kes tahun 2021 adalah untuk pemerhatian hingga 30 Ogos saja. Berdasarkan dapatan KKM itu, kumpulan umur 13-17 tahun sepatutnya diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah terlebih dulu.

“Tetapi perlu dilakukan secara berfasa dan diberikan imunisasi lengkap jika kerajaan ingin membuat perancangan untuk pembelajaran secara fizikal dalam masa terdekat.

“Persoalannya adakah kerajaan bersedia untuk menyediakan suntikan secukupnya kepada pelajar ini menjelang Oktober (jangkaan sekolah dibuka secara fizikal) sedangkan setakat 2 September 2021 kumpulan dewasa 18 tahun ke atas yang lengkap imunisasi baru mencapai 65.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah kepada kumpulan dewasa untuk melengkapkan vaksin sebelum bergerak kepada kumpulan remaja 13 hingga 17 tahun.

Katanya, untuk kategori umur bawah 14 tahun yang merangkumi 7,513,100 kanak-kanak warganegara iaitu jumlah anggaran pertengahan 2021, sebaiknya perlu kembali ke sekolah mulai tahun hadapan.

“Ini selepas negara berjaya melengkapkan vaksinasi kepada umur 13 ke atas hingga paras minimum 80 peratus seperti yang disyorkan oleh KKM untuk imuniti kelompok.

“Pelajar tingkatan enam (18-19 tahun) yang lengkap vaksin mungkin perlu diberi perhatian untuk mereka kembali ke sekolah lebih awal bagi persediaan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Manakala pelajar tingkatan lima (17 tahun) perlu diberi keutamaan untuk suntikan vaksin apabila fasa dewasa sudah lengkap mengikut pencapaian negeri,” katanya.

Apa pun, katanya, pencegahan kepada penyakit berjangkit memerlukan kesedaran dan kefahaman semua pihak ibu bapa, kanak-kanak dan komuniti untuk terus mengamalkan SOP dan amalan cara hidup sihat.

Katanya, ini bagi meningkatkan tahap imuniti dan kesejahteraan daripada semua aspek fizikal, mental, emosi, psikologi dan kerohanian supaya sentiasa seimbang.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker