Warna Susu Badan Berubah Lepas Vaksin?

 

Bagi membentuk kelompok imuniti, ibu yang sedang hamil atau baru saja melahirkan bayi juga sangat disarankan untuk segera menerima vaksin Covid-19.

Daripada pengamatan penulis, sudah ramai ibu-ibu hadir bagi menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin berdekatan.

Namun, baru-baru ini, terdapat ibu menyusu tampil membuat aduan bahawa susu badan mereka bertukar warna hijau selepas divaksin.

Prihatin dengan situasi itu, Pakar Dietetik, Medical Mythbuster Malaysia, Nur Hafizah Sobri tampil memberi penjelasan.

Tulisnya di Facebook, setakat yang beliau maklum, susu ibu terdapat pelbagai warna bergantung kepada keadaan mereka, bukannya akibat vaksin.

PELBAGAI WARNA

Mungkin ramai di antara kita hanya menganggap susu ibu berwarna putih sahaja.

“Sebenarnya, terdapat pelbagai warna susu ibu atau susu perahan. Bukan warna putih sahaja tau!” tegasnya.

Berikut perincian kepada variasi warna susu ibu tersebut:

i. Warna biru/clear.

Ini adalah foremilk iaitu susu yang dikeluarkan waktu awal pump atau menyusu dan ia lebih cair serta rendah lemak berbanding dengan hindmilk.
Foremilk adalah untuk melegakan dahaga bayi.



ii. Kuning.

Jangan risau ini mungkin adalah colustrum.

Susu pertama yang dihasilkan oleh badan dan sangat berkhasiat kerana ia mengandungi banyak antibodi untuk bayi selepas bersalin.

Mungkin juga ibu telah mengambil makanan yang tinggi beta carotene seperti lobak merah dan labu.
Ada juga susu ibu yang tukar kepada warna kuning setelah dibekukan.

iii. Hijau.



Ada kemungkinan ibu makan terlalu banyak sayur yang mengandungi warna hijau seperti bayam, rumpai laut, kailan dan juga makanan atau minuman yang mengandungi warna hijau (food colouring).

 

 



iv. Merah/pink.

Seakan-akan seperti sirap bandung, mungkin ibu makan sesuatu yang mengandungi warna merah seperti ubi-ubian atau minuman yang menggunakan pewarna merah.


Selain itu, ia juga boleh disebabkan oleh luka di puting ibu yang menyebabkan darah masuk dalam susu semasa sesi pump atau menyusu.

v. Hitam/coklat.

Kebiasaanya, terhasil daripada darah yang lama dalam saluran susu keluar.
Jika si ibu mengambil ubat-ubat tertentu, warna susu juga akan bertukar kehitaman atau coklat.



 

Adakah Susu Badan Selamat Warna Bertukar?

Jadi, apakah susu-susu itu selamat untuk diambil?
Memberi respons pantas, ujar beliau, kesemua susu berkenaan boleh diberikan kepada bayi anda.

“Namun, susu yang berwarna hitam jika ia berkaitan dengan medikasi, tolong tanya semula kepada doktor sama ada ia (ubat) selamat untuk ibu menyusu ataupun sebaliknya.

“Ini kerana ada beberapa jenis ubat sahaja yang tidak sesuai diambil oleh ibu yang sedang menyusu (contoh ubat kimoterapi),” ujarnya.

Baca juga: Ibu hamil jangan fikir 2 kali untuk ambil vaksin, ini risiko anda kena tahu

Oleh itu, ini merupakan ilmu baharu buat kita semua kerana susu ibu bukan hanya berwarna putih sahaja.

Semoga artikel yang dikongsi ini bermanfaat kepada semua!

sinarplus



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button