Azalina Jadi Speaker Dewan Rakyat, DAP Sokong
DAP menyatakan sokongan terhadap Azalina Othman Said untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat menggantikan Azhar Azizan Harun, dengan berkata, parti itu bersedia untuk membincangkan reformasi Parlimen dengannya.
Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng berkata akan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Pengerang itu mengenai “pilihan raya pecat” (recall election), undang-undang anti lompat parti dan reformasi Parlimen, malah Timbalan Pengerusi Nasional DAP dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo telah pun bertemu Azalina baru-baru ini.
“DAP bersedia untuk berbincang lebih jauh dengan (Azalina) jika dia serius untuk mengemukakan namanya menggantikan Azhar bagi mengembalikan imej dan kredibiliti Parlimen yang telah dirosakkan teruk oleh ketundukan Azhar kepada perintah Eksekutif,” kata Lim dalam kenyataan.
Katanya, DAP juga ingin mendapatkan pandangan Azalina tentang bagaimana beliau akan menggunakan jawatan Speaker secara berbeza berbanding Azhar.
“Parlimen tidak boleh terus hilang atau bergerak dalam vakum politik dengan Speaker terus memainkan peranan untuk hanya patuh dan bersetuju semata-mata bagi mempertahankan Perdana Menteri,” tambah Lim.
“Sekiranya Parlimen dibenarkan untuk memenuhi mekanisme semak dan imbang serta bersidang semasa Darurat, jawapan mungkin telah dapat diberikan mengenai Covid-19 dan krisis ekonomi yang dapat mengurangkan kenaikan rekod tertinggi jangkitan dan kematian.”
Jika dilantik sebagai Speaker, Lim menggesa Azalina agar menyusun rancangan untuk mengelakkan Parlimen menjadi sekadar “cop getah” kepada Perdana Menteri dan mengangkat taraf Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Rakyat mahu Parlimen menjadi institusi demokrasi utama yang membawa perubahan positif dalam kehidupan, tambahnya.
Beliau berkata, DAP turut bersetuju dengan cadangan Azalina agar seorang Ahli Parlimen pembangkang dilantik menjadi Timbalan Speaker.
“Pakatan Harapan mencadangkan bekas Timbalan Speaker dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming untuk jawatan Timbalan Speaker yang baru-baru ini dikosongkan oleh Azalina,” tambahnya.