Johor Catat 1,585 Kes Perceraian Mac – Julai

 

Sebanyak 1,585 kes perceraian direkodkan Mahkamah Syariah Negeri Johor, berikutan pelbagai masalah dalam tempoh antara Mac hingga Julai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 1,054 aduan masalah rumah tangga diterima.

“Lima daerah merekodkan kes perceraian tertinggi antara Mac dan Julai lalu adalah Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Muar, Kota Tinggi dan Pontian.

“Johor Bahru merekodkan sebanyak 830 kes perceraian, diikuti Batu Pahat (158 kes), Kluang (150), Muar dan Kota Tinggi (97) dan Pontian (91).

“Ia berbanding jumlah aduan kes rumah tangga yang diterima iaitu sebanyak 1,054 aduan yang diterima pejabat Kadi daerah, talian hotline dan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSKCare Center),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Kah Eng bertanya mengenai peningkatan masalah sosial dan kekeluargaan di Johor akibat wabak Covid-19.

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai berkata, sebanyak 9,614 pasangan pula bernikah di negeri ini dalam tempoh antara Januari hingga Julai lalu.

“Lima daerah yang merekodkan kes pernikahan tinggi adalah Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi dan Kluang.

“Johor Bahru merekodkan sebanyak 2,917 pasangan bernikah diikuti Batu Pahat (1,622), Muar (961), Kota Tinggi (880) dan Kluang (672),” katanya.

Leave a Reply