Rakan Hilman Idham Tidak Mengaku Bersalah

 

Seorang rakan ADUN Gombak Setia Hilman Idham dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol seorang wanita, sembilan bulan selepas wanita itu membuat laporan polis, menurut peguamnya.

Dalam kenyataan Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, suspek Mohd Zulfahimin Mahdzir dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur 3 September lalu, atas tuduhan merogol wanita itu pada Disember 2020.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan sebutan kes ditetapkan pada 8 Oktober ini.

Bagaimanapun, Asheeq menegaskan anak guamnya masih akan meneruskan tindakan sivil terhadap beberapa individu lain yang dikatakan turut terlibat dalam kejadian itu.

 



Pada Mei lalu, wanita itu mendakwa Hilman, “mengatur” untuk kenalan wakil rakyat itu merogolnya dan menyerahkan bukti kepada polis untuk menyokong tuduhannya itu.

“Kita telah serahkan segala bukti yang kita ada berkenaan pembabitan YB Hilman Idham dalam keseluruhan kejadian rogol menimpa anak guam saya sebelum ini,” Asheeq berkata pada 19 Mei lalu.

Dalam kenyataan terbaru, peguam itu menyifatkan pendakwaan ke atas rakan Hilman itu sebagai “kemenangan kecil” memandangkan “anakguam kami telah menunggu selama sembilan bulan untuk mendapatkan keadilan”.

“Walaupun begitu, kami akan mengikuti perkembangan kes ini dengan rapat dan menilai bukti-bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk memastikan keadilan benar-benar ditegakkan,” kata Asheeq.

“Kami juga akan meneruskan untuk mengambil tindakan sivil terhadap beberapa (individu) lain atas konspirasi, tekanan dan intimidasi yang diberikan ke atas anak guam kami,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan wanita yang mendakwa dirogol kenalan ADUN Gombak Setia itu memaklumkan dia diugut supaya menarik balik laporan polis terhadap suspek terbabit.

Asheeq juga dipetik berkata, pihaknya menyerahkan bukti berkaitan paksaan dan ugutan diterima wanita itu daripada beberapa individu yang dikatakan mengugut anak guamnya menarik balik laporan polis pertama yang dibuat di IPK Kuala Lumpur pada 5 Dis 2020.

Berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa dijemput Hilman ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahiran bersama kenalan rapatnya dan dua rakan wanita lain, pada 4 Dis 2020.

Wanita itu berkata, selepas makan malam mereka semua pergi berkaraoke yang mana dia mengambil minuman alkohol sehingga mabuk dan seorang rakan mangsa memberitahu ketua bahagian parti Perikatan Nasional itu menyertai mereka ketika di bilik karaoke.

Beliau dilaporkan berkata, ingatannya samar mengenai apa yang berlaku selepas berkaraoke, tetapi menyatakan dia berasa Hilman menolongnya untuk berjalan.

Ingatan terakhir wanita itu sebelum tidak sedarkan diri adalah wajah kenalan Hilman di atasnya, menurut laporan itu.

fmt

Kes Gombak Setia, Apa Kesudahannya?

Leave a Reply