Rugi RM300,000 Jadi Mangsa Scammer

 

Seorang pesara menanggung kerugian hampir RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket penipuan Macau Scam di daerah ini.

Kejadian bermula awal Mei lalu apabila lelaki berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengatakan namanya digunakan untuk mendaftar di sebuah syarikat telekomunikasi selain kad pengenalannya turut disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa menafikan tuduhan itu sebelum diminta menghubungi nombor yang dikatakan daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang.

Beliau berkata, suspek yang kononnya bertugas di IPK Pahang mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram sebelum dia diminta memberikan maklumat akaun bank.

“Mangsa diarahkan membuat transaksi pindahan wang ke beberapa akaun berbeza dan dia yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan suspek dan membuat beberapa transaksi membabitkan kerugian hampir RM300,000.

“Suspek memaklumkan wangnya akan dikembalikan semula sebaik siasatan selesai namun sehingga semalam, dia tidak menerima apa yang dijanjikan suspek.

“Mangsa yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

M Zambri turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon sama ada melalui talian mudah alih atau talian tetap yang mengaku daripada pihak penguat kuasa atau mana-mana agensi kerajaan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan seumpama ini dan tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat perbankan internet kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

“Peringatan seperti ini sudah kerap kali diuar-uarkan sebelum ini tetapi masih ramai lagi yang menjadi mangsa sindiket penipuan membabitkan jumlah kerugian yang agak besar,” katanya.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker